Selasa, 10 Ogos 2010

Tidak menaruh harapan kes dibatalkan


anuar bukhari Kes tuduhan sodomi Anwar bersambung 16 Ogos

Oleh Qayum Rahman

KUALA LUMPUR: Pasukan peguambela tidak menaruh sebarang harapan terhadap Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Ogos nanti, untuk membatalkan tuduhan sodomi terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu pihak pembelaan tidak yakin mahkamah akan membuang kes itu apabila disambung semula.

Hakim mahkamah itu, Datuk Zabidin Mohd Diah hari ini mendengar hujah dari pendakwa raya dan memutuskan untuk mendengar hujah daripada peguam bela Karpal Singh Isnin ini.

"Kita mendengar hujah pendakwa raya hari ini dan kita, dari pasukan pembelaan akan berhujah kenapa kes ini perlu dibatalkan. Kes fitnah ini perlu dihentikan kerana terdapat penyelewengan daripada pelbagai pihak termasuk pendakwa raya sendiri," kata Sankara.

Anwar berkata, tindakan mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Farah Azlina memberi keterangan tentang dakwaan hubungan intim mereka menandakan sistem kehakiman kita masih tidak mampu untuk melaksanakan keadilan.

Beliau yang menyambut ulang tahunnya ke 63 hari ini menambah, sistem kehakiman masih tidak bertanggungjawab walaupun kita mempunyai bukti yang sah.

Hubungan intim Saiful-Farah

farah Ujar beliau, "kalau mereka (Saiful dan Farah) tidak mengaku hubungan itu, mengapa mereka tidak menyanggah kenyataan saya dan buktikan bahawa tuduhan saya ini salah. Jelas perhubungan itu adalah benar hingga mereka takut untuk menafikannya.

"Penyelewengan dalam kes saya ini amatlah ketara tetapi hakim masih gagal untuk mengetepikannya," jelas beliau ketika diluar perkarangan mahkamah.

Anwar juga tidak begitu yakin akan memenangi kes ini iaitu supaya kes ini dibatalkan sahaja tetapi mereka akan berusaha sedaya upaya.

"Sekarang ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau pun pihaknya tidak berani menafikan wujudnya perhubungan di antara Saiful dengan Farah serta beliau tidak menggunakan isu ini untuk menyerang saya.

Anwar menjelaskan, "kekejaman yang dilakukan oleh Najib dan kerajaannya terhadap saya membuktikan beliau menggunakan semua pengaruh yang ada untuk menyekat kemaraan saya (dalam politik).

"Sehingga hari ini, pihak kehakiman tidak berani berlaku adil terhadap semua kes yang melibatkan Pakatan Rakyat kerana takut diambil tindakan oleh Najib.

"Sistem kehakiman hari ini tidak mampu untuk menegakkan kebenaran dan menjamin keadilan kerana mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin kerajaan yang diterajui oleh Najib," katanya.

Anwar, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful di sebuah pangsapuri di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Tiada ulasan: