Isnin, 9 Ogos 2010

Tiada ahli PAS masuk Umno di Pengkalan Chepa

Wartawan Kita

PENGKALAN CHEPA: Berita ‘194 keluar PAS, masuk Umno’ disiarkan hampir kesemua media cetak berbahasa Melayu hari ini. Namun timbul persoalan siapa yang tertipu dengan lakonan di Pulau Tukang Dollah malam kelmarin.

Mungkinkah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed terperangkap dengan taktik Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Husin apabila tiada seorang pun ahli PAS menyertai Umno di majlis berkenaan.

Sebenarnya apa yang berlaku, mana-mana penyokong Umno yang belum mendaftar di bahagian Pengkalan Chepa dikutip kad pengenalan dan diisi dalam borang permohonan menjadi ahli Umno.

Penghulu Pulau Pak Amat, Mohd Nor Dollah berkata, tiada seorang pun ahli PAS yang dikatakan menyertai Umno di majlis yang dihadiri Mustapa.


(GAMBAR:Tiada seorang pun mereka dalam gambar yang disiarkan akhbar Umno ini ahli PAS)

“Saya sudah membuat semakan dengan penduduk tempatan dan berbincang dengan beberapa pihak termasuk penghulu Pulau Panjang, tiada seorang pun yang disahkan sebagai ahli PAS menyertai Umno di Pulau Tukang Dollah.

“Beberapa nama yang disebut dalam akhbar bukan ahli atau penyokong PAS. Seorang yang bernama Zulkifli difahamkan berasal dari Tanah Merah.

“Manakala Abdul Rahmat pula tiada rekod sebagai ahli PAS. Malah saya diberitahu mereka yang hadir di majlis berkenaan sekitar 70 orang,” katanya di sini.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan seramai 194 ahli PAS keluar parti itu dan menyertai Umno pada satu majlis yang diadakan di Pulau Tukang Dollah.

Pada majlis itu kesemua penyokong Umno terbabit memegang banner yang bertulis ’Selamat Tinggal PAS berlambang dacing. Turut kelihatan dalam gambar Mustapa, Dali dan seorang penceramah Umno dari Tumpat.

Mohd Nor berkata, Umno bahagian terbabit difahamkan mengutip nama penyokong Umno dari beberapa kampung termasuk Parang Puting, Pulau Panjang, Taman Seri dan Pulau Dollah Tukang untuk diisi dalam borang keahlian Umno.

Katanya, penduduk memberitahu penyokong Umno yang belum menjadi ahli diminta mengisi borang keahlian untuk diserah pada satu majlis kepada Mustapa.

”Bagaimanapun ramai terkejut kerana penyokong Umno yang mengisi borang menjadi ahli tiba-tiba diisytiharkan pada majlis tersebut sebagai bekas ahli PAS.

”Ramai mereka terkilan kerana dipermainkan Umno Bahagian Pengkalan Chepa. Mereka tidak pernah menjadi ahli PAS. Ramai yang malu dengan tindakan tersebut,” ujarnya yang juga bekas aktivis Semangat 46.

Beliau juga mendakwa Umno bahagian Pengkalan Chepa masih lagi menghantar surat jemputan mesyuarat kepadanya biar pun sejak 1990 sudah meninggalkan Umno.

Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Azmi Nor berkata, Umno bahagian berkenaan sudah bankrap idea apabila terpaksa mengulang tayang taktik lama sehingga diketawakan orang kampung.

Katanya, orang kampung tahu mana penyokong PAS atau Umno di tempat mereka.

”Namun dalam kes di Pulau Tukang Dollah kelihatan seperti ada pihak yang diperbodohkan semata-mata untuk mendapat publisiti murahan dalam media,” katanya.

Tiada ulasan: