Rabu, 11 Ogos 2010

Terima Notis Pengosongan, GMH Lapor Polis

Sharifah Azmawati

GM Healtcare Sdn Bhd, subkontraktor kepada Sunshine Fleet Sdn Bhd hari ini mendakwa menerima notis supaya memberhentikan kerja pembinaan Hospital Shah Alam.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Pegawai Eksekutif, Elvin Toh Chen Vin berkata Sunshine Fleet mahu GMH supaya segera mengosongkan peralatan mereka dari tapak projek.

Menyifatkan notis itu sebagai berat sebelah, beliau mendedahkan kandungannya:

"Sila ambil perhatian selanjutnya bahawa sekiranya tuan atau wakil atau pekerja tuan masih gagal, abai atau enggan mengosongkan tapak projek dalam tempoh masa yang ditetapkan seperti tersebut di atas, maka kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bersesuaian berbentuk sivil mahupun jenayah ke atas tuan."

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif GMH, Chua Zhi Bir membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam, Seksyen 11 berikutan tindakan Sunshine Fleet itu.

"Sunshine Fleet mengarahkan kami mengosongkan kawasan sebelum jam 4 petang. Jadi, saya buat laporan ini bagi melindungi semua pekerja dan barangan hak milik kami yang sesetengahnya masih tidak dibayar oleh Sunshine Fleet," katanya.

Antara barang hak milik GMH yang masih diguna pakai oleh Sunshine Fleet ialah kenderaan pacuan empat roda dan barang-barang jentera binaan.

Tiada ulasan: