Rabu, 11 Ogos 2010

Teng, Liu Dibenar Bawa Saksi Menghadap Jawatankuasa Disiplin DAP

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin DAP, Ronnie Liu dan Teng Chang Khim, yang akan diadili oleh jawatankuasa disiplin parti, Khamis, akan dibenarkan membawa saksi masing-masing, kata pengerusi jawatankuasa itu Tan Kok Wai.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu boleh membawa saksi-saksi yang tidak dihadkan jumlahnya, menghadiri perbincangan jawatankuasa itu di ibu pejabat parti di Petaling Jaya nanti.

"Kami ambil sikap terbuka dalam perkara ini, mereka boleh bawa seramai masa saksi yang mereka mahu, kami tidak ada masalah mengenainya. Sebaik sahaja tamat, kami akan umumkan keputusan jawatankuasa itu," katanya di sini, Rabu.

Liu, yang merupakan exco kerajaan negeri Selangor dihadapkan ke jawatankuasa disiplin berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang menggunakan kepala surat miliknya.

Teng pula yang merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri diarah memberi penjelasan terhadap kenyataan beliau yang berbunyi "OMG! Real culprit freed" yang dibuatnya di laman sosial Twitter, selepas jawatankuasa itu mengumumkan keputusannya untuk memecat setiausaha DAP Selangor Tee Boon Hock kerana didakwa mengeluarkan bebarapa surat sokongan menggunakan kepala surat Liu.

Tee yang juga Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dipecat kerana dikatakan menyalahguna kepala surat Liu bagi mendapatkan kontrak dari MPK buat kaum keluarga dan kroninya.

Liu membuat laporan polis pada 2 Ogos lepas, mendakwa berlaku perbuatan menyalahguna kepala suratnya bagi tujuan menyokong usaha mendapatkan projek, tanpa pengetahuannya.

Selain kedua-dua pemimpin itu, jawatankuasa berkenaan turut memanggil perwakilan daripada 15 syarikat yang didakwa menerima kontrak kerajaan negeri, bagi membantu jawatankuasa itu dalam perbincagan, Khamis.

Selain Tan, jawatankuasa disiplin DAP turut dianggotai oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy yang juga naib pengerusi jawatankuasa itu, M. Kulasegaran, Lim Hock Seng dan Tai Sing Piau.

Selepas mesyuarat jawatankuasa itu esok, eksekutif pusat DAP dijangka mengadakan mesyuarat di tempat yang sama, yang antara lain dijangka akan membincangkan rayuan Tee terhadap pemecatannya itu.

Tiada ulasan: