Isnin, 2 Ogos 2010

Teng Dihadapkan Ke Jawatankuasa Disiplin DAP Berhubung Tweet Tentang Pemecatan Tee

PETALING JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Kim dihadapkan ke jawatankuasa disiplin DAP ekoran satu tweet yang dibuatnya berkaitan dengan pemecatan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock daripada parti tersebut.

Pengerusi jawatankuasa disiplin DAP, Tan Kok Wai berkata, Teng perlu memberi penjelasan kepada jawatankuasa itu tentang maksud mesej tweet tersebut pada satu perbicaraan yang ditetapkan pada 12 Ogos ini.

"Kenyataan itu sangat jelas. Jika dia mengatakan orang yang bersalah dibebaskan, ini bererti bahawa orang yang tidak bersalah telah dihukum. "Ini sama saja seperti mempersoalkan kredibiliti jawatankuasa disiplin. Ini bermakna jawatan disiplin bertindak tidak adil dan tidak profesional dengan mendakwa individu yang tidak bersalah," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini, Ahad.

Teng telah menghantar mesej tweet berbunyi, "OMG! Pelaku sebenarnya dibebaskan" pada malam Sabtu selepas pengumuman dibuat bahawa Tee akan dipecat dari DAP berkuat kuasa serta-merta. Tan berkata, Teng sebagai pemimpin parti dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bertanggungjawab untuk menegakkan nama baik parti serta menjamin keadilan dilaksanakan.

"Teng boleh memberikan maklumat kepada kami, dan namakan pelaku sebenarnya," katanya.

Boon Hock didakwa menggunakan kepala surat dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor, Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Tan berkata ahli Exco Selangor Ronnie Liu turut telah diheret dalam siasatan terhadap tuduhan yang dibuat oleh Tee bahawa Liu selaku Ahli Parlimen Pandamaran, menyedari sepenuhnya tindakan Tee tersebut. Tan juga menjelaskan bahawa Tee adalah seorang Majlis Perbandaran apabila dia mengeluarkan surat sokongan kepada sebuah syarikat, di mana anaknya merupakan seorang pemegang saham.

"Tee dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran pada 1 Julai 2008 dan kami telah memperolehi surat sokongan dikeluarkan kepada syarikat terbabit yang bertarikh 12 Ogos 2008.

"Jadi adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa Tee belum lagi menjadi Ahli Majlis Perbandaran," katanya.

Tambah Tan, jawatankuasa disiplin turut akan memanggil 15 kontraktor yang menerima surat sokongan Tee untuk memberikan keterangan pada hari yang sama.

Tiada ulasan: