Isnin, 9 Ogos 2010

Surat sokongan awal Ronnie Liu bukti baru panel disiplin DAP?


Liu: Ia kelihatan macam tandatangan saya tetapi saya tidak pasti sama ada saya yang mengeluarkannya.
KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Isu surat sokongan melibatkan pemimpin kanan DAP Selangor berhadapan dengan persimpangan baru ekoran pendedahan satu surat sokongan, didakwa ditandatangani Ronnie Liu lebih awal — pernah dikeluarkan kepada syarikat milik anak Tee Boon Hock.

Pendedahan pengeluaran surat sokongan kepada anak Tee, bekas pembantu khas Liu dan bekas ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang dipecat awal bulan ini, dijangka akan menjadi asas baru kepada pembelaannya kelak.

Surat sokongan untuk lima syarikat termasuk kepada syarikat Tee, perkhidmatan AA, bertarikh 14 April 2008, yang membawa tandatangan Liu menggunakan kepala surat Exco Kerajaan Negeri.

Surat itu dialamatkan kepada Pengarah Alam Sekitar dan Landskap MPK, bagi tujuan mendapatkan kerja-kerja bernilai RM1 juta, memperakui syarikat-syarikat itu sebagai kontraktor yang beralamat di bahagian Dewan Undangan Negeri Pandamaran.

Liu Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran.

Salinan surat yang diperoleh The Malaysian Insider hujung minggu lalu menunjukkan Liu telah memperakui Perhidmatan AA kira-kira empat bulan sebelum Tee, yang merupakan pembantu khasnyaa ketika itu menandatangani surat sedemikian.

“Tee hanya ikut preseden dan Liu tidak boleh mendakwa yang beliau tidak tahu apa apa dalam isu ini,” kata seorang anggota DAP kepada The Malaysian Insider.

Liu pada awalnya berkata tidak ada elemen salah guna kepala surat tetapi kemudian membuat aduan polis bahawa surat-surat sokongan telah disalahgunakan.

Kerjaan negeri kini menyiasat isu ini dan telah menegaskan, amalan pengeluaran surat-surat sedemikian akan diteruskan meskipun ada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang membantahnya.

Tee dilantik sebagai ahli majlis MPK pada Julai 2008 dan surat sokongan dikeluarkan oleh beliau pada bulan berikutnya.

Beliau dipecat dari parti atas alasan konflik kepentingan kerana melibatkan syarikat anggota keluarga.

Pemimpin itu berpendirian tegas bahawa kesemua surat yang ditandatangani adalah atas arahan Liu dan tidak tahu yang anaknya menganggotai syarikat yang membida kontrak kerajaan.

Ketika dihubungi semalam, Tee memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihak polis juga mempunyai salinan surat-surat itu.

“Saya tidak mahu berkata apa-apa kerana tidak mahu menjejaskan siasatan kes,” katanya.

Bagaimanapun Tee menambah, beliau akan membangkitkan isu itu apabila mengemukakan rayuan berhubung keputusan pemecatannya.

Liu pula memberitahu The Malaysian Insider, beliau juga dimaklumkan tentang surat sedemikian semasa disoal siasat polis minggu lalu.

“Ia kelihatan macam tandatangan saya tetapi saya tidak pasti sama ada saya yang mengeluarkannya,” kata beliau.

Malah kata Liu, pihak polis juga menunjukkannya satu lagi salinan surat sokongan yang membawa tandatangan yang beliau tidak dapat mengenal pasti.

“Ada kemungkinan surat-surat ini dipalsukan kerana saya tidak dapat mencari surat asal,” kata wakil rakyat dan Exco penggal pertama ini.

Bagaimanapun kata Liu, meskipun surat-surat itu dikeluarkan, tidak ada elemen konflik kepentingan kerana ia dikeluarkan sejurus selepas PR menawan Selangor manakala Tee masih belum dilantik sebagai ahli majlis MPK ketika itu.

“Malah saya tidak pasti sekiranya anak Tee adalah pengarah syarikat itu (Perkhidmatan AA) ketika itu,” katanya lagi.

Liu dijadual menghadap jawatankuasa disiplin DAP Khamis ini berhubung peranannya selepas Tee disabitkan kesalahan sebelum ini dan dipecat dari DAP.

Bagi mengelakkan salah guna kuasa selepas ini, Liu berkata, beliau telah mengeluarkan kesemua kepala surat dan cap meterai dari pejabatnya di Pandamaran dan menggantung tiga pembantu khasnya.

“Mulai sekarang, saya akan menandatangani surat-surat perakuan,” katanya.

Tindakan itu diambil ekoran aduan bahawa surat-suratnya digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan layanan khas.

Tiada ulasan: