Khamis, 19 Ogos 2010

Soalan peguam SPRM menjengkelkan banyak pihak

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Cara Ketua Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa menyoalbalas Pakar patalogi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dalam inkues Teoh Beng Hock semalam menjengkelkan banyak pihak.

Dr Pornthip sendiri melepaskan kejengkelannya terhadap Abdul Razak Musa dalam soal balasnya sehingga bertanya kepada koroner, "Apakah dia ini seorang peguam."

Soalan-soalan beliau juga membangkitkan kejengkelan juga di kalangan pemerhati yang memenuhi mahkamah koroner itu.

(Gambar: Abdul Razak dalam kereta ketika meninggalkan perkarangan mahkamah Shah Alam semalam)

Antaranya Dr Dzulkefli Ahmad, anggota Palrlimen Kuala Selangor.

"Bayangkan pelawak ini akan menjadi seorang hakim satu hari nanti...Oh Tuhanku, selamatkanlah Malaysia," tulis beliau dalam twitter yang dihantar dari dalam mahkamah.

"Maaflah, pelawak ini peguam SPRM...padanlah (nama baik) SPRM dalam situasi sekarang," tulis beliau lagi.

Dr Dzulkefli ketika dihubungi Harakahdaily berkata, kejengkelan ini berlaku kerana cara Abdul Razak menyoal kelihatan tidak profesional dan cuba mengaibkan saksi yang akhirnya memalukan beliau sendiri.

Ini ekoran soalan yang bukan-bukan ditanya oleh Abdul Razak termasuk mencabar kewibawaan saksi itu dengan berkata dia bukan seorang pakar di Malaysia kerana tempat universiti beliau belajar tidak diiktiraf di Malaysia.

Pornthip menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar iaitu Mahidol University adalah satu daripada lima yang terbaik di Asia. Jawapan ini menyebabkan mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan dengan jawapan itu.

Menurut laman web Topuniversities pada tahun 2010, Mahidol University berada tempat ke 28 di Asia manakala universiti terbaik Malaysia iaitu Universiti Malaya berada di tangga ke 42 iaitu di atas sedikit dari universiti kedua di Thailand, Chulalongkorn University yang berada di tempat ke 44.

Menurut laman itu, universiti di Malaysia yang tersenarai dalam 200 universiti terbaik di Asia adalah Universiti Malaya tempat ke 42, Universiti Kebangsaan Malaysia (58), Universiti Sains Malaysia (69), Universiti Putra Malaysia (77), Univeriti Teknologi Malaysia (82), Universiti Islam Antarabangsa (151).

Di Thailand pula, universiti yang tersenarai adalah Mahidol University tempat ke 28, Chulalongkorn University (44), Chiang Mai University (79), Thammasat University (91) Prince of Songkla University (101), Khon Kaen University (122) dan Kasetsart University (126).

Dalam soalbalasnya, Abdul Razak juga berkata, kemungkinan mangsa mencekik dirinya sendiri dan bukan dicekik oleh orang lain sebelum terjun.

Menurut Dr Dzulkefli (gambar) yang sebelum ini adalah pakar toksikologi dari Universiti Sains Malaysia sebelum menyertai politik, jawapan Dr Pornthip yang banyak dipertikai oleh Abdul Razak memang wajar kerana patologi bukan sesuatu yang kuantitatif seperti toksikologi tetapi ia lebih kepada kualitatif yang boleh berubah berdasarkan fakta.

"Jawapan dia sebelum bedahsiasat kedua 80 peratus dibunuh adalah berdasarkan fakta ketika itu. Lagipun, pandangan pakar dalam patologi boleh berbeza antara satu sama lain berdasarkan sudut pandang mana yang diambil," katanya.

Menurut Dr Dzulkefli, apa yang dilihat oleh Dr Porthip adalah kecederaan pada laher yang boleh disebabkan oleh objek tumpul yang dihentak kepadanya di samping tidak ada bukti yang jelas kecederaan pada tangan dan kaki mangsa.

"Menurut buku, jika mangsa jatuh dalam keadaan sedar, kaki dan tangan mangsa akan cedera teruk kerana mangsa akan cuba menjaga badan yang lain apabila jatuh ke tanah menyebabkan kaki dan tangan yang cedera teruk...Dalam kes ini Dr Pornthip melihat tidak ada bukti yang jelas di situ, sebab itu dia membuat kesimpulan mangsa cedera atau tidak sedarkan diri ketika jatuh," terang Dr Dzulkefli.

Tiada ulasan: