Sabtu, 21 Ogos 2010

SKMM perjelas isu stesen radio 988

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMK) mengesahkan pihaknya sedang menyiasat stesen radio 988 tetapi menjelaskan perkara berkaitan kakitangan stesen itu adalah perkara dalamannya yang bukan di bawah bidangkuasa SKMM dan SKMM tidak boleh membuat sebarang komen mengenainya.

Katanya, SKMM sedang menyiasat stesen radio milik Star RFM Sdn Bhd itu selepas menerima beberapa aduan mengenainya kandungannya yang mungkin sensitif dan boleh mengganggu sentimen kaum atau agama di negara ini.

Berikut adalah kenyataan penuh SKMM yang disiarkan di laman webnya hari ini.

Berikutan beberapa aduan yang telah diterima oleh SKMM berkenaan program pagi oleh sebuah stesen radio, Star RFM Sdn Bhd (98.8 FM) sedang disiasat oleh SKMM bagi kesalahan melanggar peraturan di bawah syarat-syarat lesen.

SKMM telah memaklumkan stesen berkenaan tentang aduan-aduan yang telah diterima.

Star RFM Sdn Bhd memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) yang menggariskan pematuhan syaratsyarat lesen seperti yang termaktub di dalam lesen.

Ini termasuk larangan pemberian kandungan yang bersifat sensitif dan boleh mengganggu sentimen mana-mana kaum atau agama di negara ini.

Sehubungan itu, SKMM telah menerima beberapa aduan berkenaan kandungan yang telah disiarkan pada 13 Ogos 2010 oleh stesen radio yang dikendalikan oleh Star RFM Sdn Bhd yang mungkin mempunyai kandungan bersifat sensitif dan boleh mengganggu sentimen mana-mana kaum atau agama di negara ini.

Oleh kerana itu, SKMM telah menilai aduan tersebut dan siasatan telah dimulakan ke atas stesen radio berkenaan.

Tujuan siasatan diadakan adalah untuk membuktikan jikalau terdapat kesalahan pelanggaran syarat lesen yang telah dilakukan oleh stesen berkenaan.

Setelah tamat siasatan kelak, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Sebarang keputusan berdasarkan hasil siasatan akan dimaklumkan kelak berdasarkan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) atau undang-undang lain yang boleh digunapakai.

SKMM mengambil berat pematuhan syarat-syarat lesen oleh pemegang lesen agar syarat-syarat ini sentiasa dipatuhi pada masa akan datang.

Isu berkaitan pekerja-pekerja pemegang lesen adalah perkara dalaman organisasi terbabit (stesen radio tersebut) yang bukan di bawah bidangkuasa SKMM dan SKMM tidak boleh membuat sebarang komen mengenainya.

Sebarang tindakan yang diambil oleh SKMM adalah berdasarkan syarat lesen bagi setiap stesen radio dan undang-undang di bawah AKM 1998 atau undang-undang lain yang boleh digunapakai.

Tiada ulasan: