Jumaat, 6 Ogos 2010

Serah Kuasa Pendakwaan Kepada SPRM Bukti Kerajaan Serius Lawan Rasuah

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM - Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda (Inska), Mohd Nazree Yunus mendesak Seksyen 145(3) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan agensi itu serius untuk membanteras gejala rasuah.

Nazree berkata pada masa kini Perlembagaan memperuntukkan hanya Peguam Negara sahaja yang boleh mengemukakan sebarang prosiding jenayah dan membuat keputusan pendakwaan dalam mahkamah.

Beliau berkata Seksyen 58 Akta SPRM 2009 jelas menunjukkan kuasa pendakwaan terletak di bawah tanggungjawab Peguam Negara dan bukannya SPRM.

"Apa yang menjadi persoalan apakah wujud kebebasan pendakwaan pada SPRM? Saya cukup optimis untuk melihat ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang sama-sama bersetuju untuk meminda Perlembagaan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara.

"Bagi sidang Parlimen yang akan datang, usul perlu dikemukakan untuk meminda Perlembagaan dalam memberi kuasa kepada SPRM bagi mendakwa pesalah jenayah rasuah," tambah Nazree.

Ini kerana jelas Nazree langkah SPRM untuk mendesak agar menteri Kabinet mengisytiharkan harta tidak akan membawa perubahan yang besar dalam agenda memerangi rasuah jika kuasa pendakwaan hanya terbatas kepada Peguam Negara.

Peranan SPRM akan menjadi kecil dan terpaksa menunggu kebenaran pihak Peguam Negara sebelum pendakwaan sebarang kes rasuah.

Sehubungan itu Inska mahu SPRM menetapkan pengisytiharan harta dan aset oleh Menteri Kabinet meliputi juga ahli keluarga mereka disamping ahli politik yang memegang jawatan tinggi sama ada pada peringkat kerajaan pusat mahupun negeri.

Nazree yang juga mantan Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak) berkata SPRM perlu menyiasat Menteri dan pegawai tinggi kerajaan sekiranya terdapat keraguan berhubung pemerolehan harta mereka.

Tindakan ini bagi membuktikan kepada rakyat bahawa Abu Kassim mengotakan apa yang dikatakannya sebagai bukti kesungguhan badan tersebut melawan gejala rasuah dan bukan sekadar cakap kosong sahaja.

"Mekanisme pengisytiharan harta juga perlu meliputi ahli keluarga menteri Kabinet supaya langkah pengisytiharan harta dilihat lebih menyeluruh. SPRM perlu mendakwa mana-mana menteri yang terlibat rasuah walaupun yang masih memegang jawatan.

Tumpuan juga harus diberikan terhadap siasatan kes berprofil tinggi dan seterusnya mendakwa mereka yang terlibat ke mahkamah," tegas Nazree dalam satu kenyataan Rabu lalu.

Langkah ini wajar dikaji oleh SPRM kerana tanpa pendakwaan kes berprofil tinggi secara serius, persepsi rakyat terhadap kredibiliti SPRM sukar dipulihkan.

Tiada ulasan: