Rabu, 11 Ogos 2010

Selangor agih RM2.7 juta untuk baik pulih sekolah agama

BERNAMA

KUALA SELANGOR— Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengagihkan peruntukan bernilai RM2.7 juta kepada semua sekolah agama di negeri itu bagi membaik pulih prasarana yang rosak dan daif di bawah program Permohonan Bantuan Pembangunan Fizikal Sekolah.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bantuan fasa pertama itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM6 juta untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI).

“Bagi fasa pertama, permohonan diterima dari Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain Intergrasi (KAFAI),” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan cek bantuan itu di Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar, Kampung Asahan, Bestari Jaya di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri menerima 238 permohonan untuk bantuan sejak permohonan fasa pertama program itu dibuka bermula Februari hingga 30 April lepas.

Abdul Khalid berkata daripada jumlah itu, hanya 136 permohonan SAR, KAFA dan KAFAI telah diluluskan dan layak untuk menerima bantuan dan menurutnya pada sepanjang tahun lepas sebanyak 114 buah sekolah agama menerima bantuan itu.

Beliau berkata permohonan bagi fasa kedua bantuan di bawah program itu dibuka bermula 22 Julai lepas sehingga 30 Sept ini.

Tiada ulasan: