Rabu, 11 Ogos 2010

Selamat tinggal, Liong Sik!

Josh Hong

Ketika Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau tampil sebagai Perdana Menteri yang "lemah". Kemudian, beliau semakin mendominasi dan mengukuhkan kuasanya. Antara beberapa orang kanan yang menyumbang ke arah pendominasiannya termasuklah Bendahari UMNO Daim Zainuddin, Setiausaha Agung Mohamed Rahmat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Megat Junid.

Nama-nama yang tersebut di atas bukan sahaja menyempurnakan misi yang diamanahkan oleh Mahathir kepada mereka, iaitu transformasi ekonomi, menentukan halatuju rencana, dan menekan mereka yang berbeza pendapat. Apa yang penting, mereka dipercayai oleh Mahathir Mohamad yang sentiasa sangsi terhadap orang lain, dan diberi peluang untuk menjalankan tugas secara berdikari.

Mereka sentiasa rendah diri, tidak bertanding untuk jawatan tinggi, dan pada masa yang sama, mengelakkan diri daripada terlalu terserlah sehingga dianggap mengancam kedudukan tuannya. Segala-gala ini "syarat" kejayaan orang-orang kanan ini.

Selain UMNO, Mahathir juga bersepakat dengan pimpinan "rakan parti", tampil sebagai satu pasukan untuk mencipta "keajaiban ekonomi pada awal tahun 1990-an". Ling Liong Sik dari MCA, Samy Vellu dari MIC, Lim Keng Yaik dari Gerakan, malah Taib Mahmud dari PBB berjaya menjana jentera parti untuk mengerah sokongan bukan Melayu pada saat-saat yang genting, terutamanya pada PRU ke-10 tahun 1999, untuk menyelamatkan Mahathir Mohamad.

Berjasa terhadap Mahathir dan UMNO

Apa yang berlaku telah berlalu. Selepas Mahathir, tiada lagi pimpinan yang mendominasi dalam kuasanya. Sama ada Abdullah Ahmad Badawi mahupun Najib tidak mempunyai orang kanan yang boleh ditaruh kepercayaan. Abdullah lebih bergantung kepada menantunya, Khairy Jamaluddin, daripada anggota kabinetnya. Najib tidak menampakkan perbezaan, apabila beliau melantik sepupunya Hishammddin Hussein sebagai Menteri Dalam Negeri.

Parti komponen Barisan Nasional yang lain pula berdepan dengan masalah ketandusan generasi baru. Setelah berlalunya dua pemilihan parti, keparahan MCA masih tidak terawat sehingga kini. Undi dari komuniti Cina tidak mungkin kembali ke pangkuan BN, melainkan jikalau keajaiban berlaku.

Ling Liong Sik adalah antara pemimpin politik veteran yang berjasa untuk UMNO. Beliau diberikan amanah penting pada saat-saat yang genting, walaupun bukannya "berisi" sangat, atau bercita-cita tinggi, tetapi nasibnya agak baik.

Ekonomi Malaysia masih bertunjangkan bahan mentah dan industri ringan pada peringkat awal Mahathir Mohamad menyandang jawatan Perdana Menteri. Selepas penswastaan, sumber negara telah disalurkan untuk kepentingan politik. Ling Liong Sik memberi sokongan sepenuhnya sepanjang proses transformasi ekonomi ini, dan semestinya juga dimanfaatkan daripadanya. Jikalau tidak, bagaimana pula nilai harta anaknya mencecah billion ringgit pada usia yang muda?

Ling Liong Sik cuba menguji pola pandangan akar umbi masyarakat Cina pada peringkat awal beliau menerajui MCA. Maka, beliau mengambil pendirian yang agak keras dalam sesetengah isu seperti peruntukan untuk kampung baru Cina, pertikaian Akta Pendidikan dan cukai tanah Bukit Cina di Melaka. Ling pernah protes senyap terhadap rakannya dalam kabinet dengan pengambilan cuti.

Bagaimanapun, beliau gagal bertahan lama, apabila manfaat daripada dasar ekonomi Mahathir semakin hari semakin menghakis ketabahan dalam dirinya sendiri. Tiada lagi prestasi yang memahat ingatan orang ramai daripada Ling selepas zaman 1990-an.

Pada asasnya, dua strategi yang digunakan oleh Ling semasa zamannya adalah, pertama, beliau bergantung kepada Fong Chan Onn (bekas Naib Presiden MCA) dan tink tank MCA, INSAF di peringkat partinya, menjurus kepada pemahaman dan penguasaan Ling terhadap dasar negara (biarpun lemah dari segi pelaksanaan kerana dibelenggu struktur kuasa dalam BN).

Dari segi akar umbi parti pula, Ling menyerah kepada adik beradik Ong Ka Ting (dengan Ong Ka Chuan), yang berasal dari pendidikan aliran bahasa Cina. Kemudian adik beradik Ong ini diimbangi pula oleh Chua Soi Lek dan Chor Chee Heong yang berasal dari pendidikan aliran bahasa Inggeris.

Pengambil-alihan Nanyang Holdings

Sememangnya, kita tidak harus melupai pencerobohan yang dibawa oleh Ling Liong Sik dalam ruang kebebasan akhbar. Pada Mei 2001, MCA di bawah Ling menongkah arus suara rakyat untuk mengambih alih Nanyang Holdings (yang memiliki Nanyang Siang Pau, China Press dan majalah lain-lain). Keputusan ini telah menyempitkan ruang kebebasan akhbar.

Tycoon balak dan media, Tiong Hiew King (gambar kiri) akhirnya dimanfaatkan apabila MCA melepaskan saham yang dikuasainya kepada Tiong, yang menjurus kepada penggabungan konglomerat media menjadi Media Chinese International Limited, hari ini. Dari segi ini, Ling amat berjasa kepada Tiong, dan Media Chinese International Limited semestinya membalas jasa Ling.

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang hangat dipertikaikan sekian lama ini akhirnya membawa kejutan apabila bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik menjadi orang pertama bergelaran "Tun" didakwa di mahkamah. Bagaimanapun, hampir tiada analisa atau komentar yang bernas disiarkan di Sin Chew Daily (akhbar di bawah Media Chinese International Limited) yang kononnya mempunyai pengaruh di kalangan jutaan pembaca. Seandainya dibandingkan, Utusan Malaysia dan Oriental Daily menyiarkan lebih tulisan dalam isu ini. Kita semua tahu puncanya.

Selepas Ong Ka Ting mengambil alih tampuk pimpinan, orang-orang dari sekta Ling Liong Sik telah "dipancung" dari jawatan masing-masing. Bukan sahaja ahli politik yang tampil di atas pentas politik, malah tink-tank Ling juga dipancung. Pengarah INSAF, Steven Wong telah beralih ke Institut Kajian Strategi Antarabangsa (di bawah naungan kerajaan), penyelidik Ong Kian Ming pula menyertai tink-tank Gerakan dan Stanley Koh pula menggunakan pentas Malaysiakini untuk melontarkan kritikan terhadap adik-beradik Ong.

Setelah tujuh tahun berundur dari pentas politik, Ling melalui zaman "layanan dingin" oleh adik beradik Ong Ka Ting dan Ong Ka Chuan, kemudian cuba diasingkan pula semasa zaman Ong Tee Keat menjadi Presiden. Ling sebenarnya menemui cahaya apabila anak buahnya Chua Soi Lek "hidup semula dari kematian" dalam politik.

Biarpun begitu, skandal PKFZ telah mencetuskan kemarahan yang meluap-luap di kalangan rakyat. Dalam satu minggu ini, hampir tiada orang yang berani bersuara mempertahankan Ling di media arus perdana. Malah konglomerat media Tiong memilih juga untuk mendiamkan diri.

Bagaimanapun, Ling telah menjadi penyumbang kepada sistem autoritarian yang dibina Mahathir. Ling Liong Sik tunduk sepenuhnya kepada pemerintahan diktator Mahathir, memilih untuk "buat tak nampak" penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan. Ling sering mengingatkan masyarakat Cina bahawa Cina adalah kaum minoriti. Walaupun beliau mungkin membebaskan diri akhirnya dalam skandal PKFZ ini, namun tetap gagal menutup realiti bahawa pencerobohan lebih daripada pembinaan semasa zaman pemerintahannya.

Seandainya Najib tidak memberi laluan kepada siasatan sepenuhnya dalam kes ini, berikutan kekhuatiran ditentang kuasa lama dalam UMNO, ataupun takut kredibilitinya terjejas, maka tugas ini harus diamanahkan kepada pengundi -- menyapu keluar BN dari rumah dalam PRU akan datang, dan mengucapkan selamat tinggal kepada era Ling Liong Sik.

*Josh Hong adalah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tulisan ini disunting dan diterjemahkan oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

Tiada ulasan: