Isnin, 16 Ogos 2010

Saman Ke Atas Nabil Dibatal & Kes Raja Azura Antara Isu Panas

MSTAR ONLINE

MINGGU lalu, terdapat dua saman melibatkan artis yang ditarik balik. Nampaknya, aktor Nabil dan penyampai radio Linda Onn sudah boleh menarik nafas lega apabila saman mereka ditarik balik.

Syarikat SDAF pictures yang memfailkan saman terhadap Juara rancangan Raja Lawak, Nabil pada Februari tahun ini kerana melanggar kontrak promosi dan memperlekehkan filem lakonannya sendiri, Lu Pikirlah Sendiri De Movie.

SDAF pictures telah membatalkan saman tersebut.

Bukan itu sahaja, SDAF Pictures bersetuju membayar semula baki bayaran yang tertunggak dan memberi pampasan kos guaman yang ditanggung oleh Nabil dalam kes ini.

Sementara itu, Fahrin membatalkan hasratnya untuk meneruskan saman terhadap Linda beberapa bulan lalu dan Linda juga beretuju untuk tidak meneruskan apa-apa tidnakan terhadap Fahrin.

Linda juga berkata secara professional dia tidak kisah sekiranya digandingkan bersama untuk apa juga acara melibatkan mereka berdua.

Pada 25 Januari lalu, Fahrin membuat sidang media untuk menyaman Linda kerana wanita itu dikatakan telah melakukan fitnah termasuk menuduh Fahrin sebagai kaki pukul.

Polis Dakwa Ameng Positif Dadah

Ujian yang dilakukan terhadap spesimen air kencing yang diperoleh daripada penyanyi kumpulan Spring, Ameng menunjukkan keputusan positif dadah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, Sarjan Halimi Jarkasi pada perbicaraan di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Bougenvilla itu sedang dibicarakan atas pertuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya pada pukul 3.45 pagi, 2 April lalu di IPD Sentul.

Ameng dihadapkan ke mahkamah kali pertama pada 12 Mei lalu, di mana dia mengaku tidak bersalah. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bekas Isteri Akhil Hayy Selamat Diijabkabul

Bekas isteri kepada penyanyi nasyid Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 35, selamat bernikah dengan pasangannya, Mohd Yassin Ben @ Abd Rahim, 23, pada Isnin lalu di Ipoh, Perak.

Maiza tidak menetapkan wang hantaran sebaliknya menerima mas kahwin sebanyak RM101 berserta tujuh dulang hantaran. Sementara pihak lelaki menerima lima dulang hantaran daripadanya.

Kak Engku Ke Mahkamah Bukan Sebab Cerai

Penyampai radio Sinar FM, Raja Azura,38, menjelaskan kunjungannya ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam 3 Ogos lalu adalah untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan bukannya mahu bercerai seperti yang dihebohkan.

Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin berkata, spekulasi mengatakan dia memfailkan penceraian untuk berpisah dengan suaminya Adzmin Tan Sri Osman, 37, adalah berita yang tidak benar sama sekali.

Malah katanya, buat masa ini dia masih tinggal sebumbung dengan suaminya dan mereka menjalankan peranan sebagai suami isteri seperti biasa.

David Teo, Idham Masih Sah Ahli Lembaga Pengarah Finas

Pelantikan dua penerbit filem David Teo dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) adalah sah mengikut peraturan undang-undang.

Finas juga menganggap tuduhan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) kononnya terdapat konflik kepentingan (conflict of interest) sebilangan ahli lembaga pengarah agensi itu adalah sesuatu yang bersifat buruk sangka.

Pengerusi Finas, Datuk Mohammed M.Daud berkata, PFM perlu membuktikan dakwaan mereka itu benar kerana sehingga hari ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang bertanggungjawab terhadap Finas mendapati tidak wujud konflik seperti yang didakwa.

Tiada ulasan: