Jumaat, 13 Ogos 2010

Saman Ekor & Keyakinan Kepada Kerajaan

Oleh Nobisha

Kabinet telah membuat keputusan menangguhkan senaraihitam saman ekor sehingga Februari tahun depan. Katanya, ia disebabkan musim perayaan; walaupun saya yakin itu bukan alasannya. Saya fikir adalah lebih baik sekiranya kabinet membuat keputusan itu kerana rakyat tidak berpuas hati dan bukannya mencipta alasan “musim perayaan” bagi menjustifikasikan keputusan itu.

Sementara rakyat mengalu-alukan keputusan itu, namun apabila mereka diberikan alasan yang berselindung, maka sedikit-sebanyak ia memberikan kesan kepada keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Berbalik kepada isu saman ekor, saya fikir reaksi negatif rakyat kepada senaraihitam ada kaitan dengan keyakinan kepada kerajaan. Apabila rakyat mempunyai keyakinan yang tinggi kepada kerajaan, maka isu-isu yang dibangkitkan mengenai saman ekor tidak timbul; atau kalau timbulpun, ia berlaku secara kecil-kecilan.

Saman ekor bukanlah baru. Di Singapura ia sudah lama diamalkan. Sehingga sekarang ia tidak diprotes seperti yang berlaku di negara ini. Malah, saya tidak mengetahui adanya tentangan terbuka seperti di Malaysia.

Dalam hal ini, saya fikir kerajaan harus mengenalpasti yang masa satu hutan, dan yang mana satu pokok; yang mana satu batang, dan yang mana satu ranting. Saya percaya sekiranya kerajaan dapat memfokuskan kepada usaha memulihkan keyakinan rakyat, maka isu-isu ranting (seperti saman ekor) akan dapat diselesaikan dengan lebih mudah.

Menangguhkan (atau membatalkan?) senarai hitam saman ekor adalah bagus. Namun itu ranting. Pokoknya ialah keyakinan rakyat kepada kerajaan. Mencipta alasan “musim perayaan” tidak mampu membantu memulihkan keyakinan tersebut.

Dipetik dari http://www.nobisha.com

Tiada ulasan: