Selasa, 10 Ogos 2010

Salahudin pernah jual kuih di bulan Ramadhan


Li Fook Gao


MINDA NAIB PRESIDEN PAS

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…Datuk Tuan Ibrahim (TITM, YB Salahuddin Ayub (SA) danDato’ Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1:

Apa nasihat para Naib Presiden kepada semua warga Muslim seluruh negara di bulan Ramadan ini? Bolehkah Naib Presiden sekalian berkongsi amalan-amalan atau peristiwa-peristiwa menarik masing-masing semasa berpuasa selama ini?

TITM: Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan selamat menyambut kedatangan Ramadhan, bulan rahmat dan keberkatan, bulan pengampunan dan kasih sayang Ilahi, bulan jihad dan perjuangan. Kehebatan bulan Ramadhan mestilah diambil peluang sebaiknya bagi seluruh umat Islam dengan melakukan muhasabah dan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Perkara yang sukar dilakukan ialah melakukan perubahan; namun bulan Ramadhan memberi ruang yang luas kearah perubahan tersebut; samada perubahan personaliti, amal ibadah serta penggabungan diri dalam perjuangan Islam.

Ambillah kesempatan dengan menghadirkan diri dalam majlis ilmu dan ibadah. Menikmati setiap amalan yang dilakukan dengan penuh ketaqwaan. Menghayati sejarah perjuangan umat Islam lampau dalam bulan Ramadhan serta kehebatan mereka. Marilah kita memelihara Ibadah puasa dengan mengisi setiap detik waktunya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah.

Pengalaman yang paling manis dalam bulan Ramadhan ialah bersama sahabat ketika pengalaman berbuka, bertaraweh dan tazkirah di tepi pantai bersama sahabat satu usrah.

Suasana yang nyaman dan tenang di saat matahari terbenam, dengan laungan azan dan menikmati juadah yang dibawa bersama adalah pengalaman jamaah yang kalau diberi peluang saya akan mengulanginya. Alangkah indahnya bila mana semua ahli keluarga dapat bersama. Mengukuhkan ukhuwah dalam jamaah.

SA: Ramadan kali ini perlu dilihat dari perspektif baru dan segar, dan saya rasa apa yang kita perlu hari ini ialah suatu tekad yang luar biasa untuk kita melakukan ibadah di bulan Ramadan ini dan juga kebajikan-kebajikan yang sangat dituntut kerana Ramadan kali ini telah membuktikan usia kita ini telah bertambah setahun lagi.

Inilah masa terbaik untuk membuat perkara yang secukupnya. Dalam konteks perjuangan, saya rasa inilah masa terbaik untuk kita mengumpul kekuatan di bulan yang sangat berkat ini, untuk kita lebih berinovatif dalam melayari bahtera perjuangan Islam ini dan apa yang perlu kita lakukan hari ini ialah kita perlu membuktikan Islam yang kita perjuangkan ini bukanlah suatu halangan besar untuk kita terus maju ke hadapan dalam konteks politik Malaysia.

Yang agak menarik dalam kehidupan saya semasa Ramadan ini, saya masih teringat lagi sewaktu saya belum menjadi wakil rakyat ialah bagaimana saya membantu isteri saya untuk mendapatkan sedikit rezeki dengan menjual kuih-muih dalam bulan Ramadan dan untuk juga menghadapi Hari Raya. Saya cukup ingat pada peristiwa itu sehinggakan saya pernah terjatuh daripada menaiki motosikal apabila saya membeli persiapan-persiapan untuk membuat kuih-muih itu kembalinya dari pasar. Kuih yang paling laris sekali ialah kuih Melaka.

Rasanya cukup sedih pada waktu itu kerana kereta pun tak ada – di sekitar 80-an waktu saya sudah mula full time dengan parti, dan pada masa itu sudah ada 2 orang anak yang masih kecil.

MO: Menjelang ramadan, letakkan taqwa sebagai maklamat yang perlu dicapai dalam melaksanakan ibadah puasa. Jadikan ibadah wajib dan sunat serta sedekah jariah, infak dan jihad sebagai bidang keberhasilan utama yang perlu dicapai.

Jimat berbelanja dan turunkan berat badan bagi yang terlebih berat dan gemuk. I miss you, Ramadan.

Sejak terlibat sebagai pemimpin PAS dan rakyat, saya tiada mempunyai banyak masa untuk berbuka dengan keluarga. Pada tahun 2009, hanya 3 kali saya dapat berbuka bersama keluarga.

Walau apa pun saya tetap beri ruang dan waktu untuk bersama keluarga – berhimpun bersama anak-beranak serta keluarga abang adik saya untuk berbuka bersama. Selebihnya saya banyak berbuka dengan masyarakat di masjid dan surau.

Pada tahun ini sudah diatur program berbuka dan bersahur dirumah orang orang miskin, wargamas dan anak yatim disamping menyampai bantuan sumbangan – harap saya boleh bawa keluarga sekali untuk mendidik mereka secara mendekati dan merasai denyut nadi umat. Insyaallah.

Soalan 2:

Saya merupakan salah seorang pemuda Umno di Gombak, tetapi saya berminat dan selalu mengikuti perkembangan PAS dan juga parti lain di dalam Pakatan Rakyat sejak dari dahulu lagi. PAS bagi saya adalah sebuah parti yang sangat dihormati baik kawan ataupun lawan.

Tokoh Spiritual PAS yang sangat dihormati Tuan Guru Nik Aziz memberi impak dan pengaruh yang amat besar di dalam sejarah moden PAS buat masa kini, kami Pemuda Umno melihat PAS mungkin akan kehilangan impak dan pengaruh kepada pengundi jika ketiadaan TGNA.

Bagaimana ini dapat diatasi dan apakah momentum TGNA dapat diteruskan oleh penggantinya nanti?

SA: Saya yakin dan percaya bahawa pemimpin dalam PAS ini datang dan pergi. Dan kita telah ada rekod – kita telah berusia setengah abad, walaupun faktor kepimpinan dan tokoh itu sangat-sangat penting dalam mana-mana organisasi termasuk PAS tetapi yang menyebabkan PAS boleh hidup pada hari ini pada kekuatan ‘amal jamaii’ nya – kita punya konsep dan amalan kolektif responsibility atas nama jamaah itu lebih kukuh sebenarnya.

Oleh itu, jangan bimbang sangat – memang saya sendiri pun hari ini merasakan begitu, kalau tak ada orang ini, PAS akan susah – kalau tak ada Tok Guru ini, nanti siapa penggantinya tapi dengan kekuatan jamaah yang kita bina bersama ini, sampai masanya besok akan lahirnya pemimpin baru yang lebih dinamik dan berinovatif untuk terus memimpin parti. Yang penting saya rasa benda-benda fundamental tidak boleh terhakis, terutama sekali dasar Islam kita yang jelas, dan di situlah terbinanya personaliti, integriti, akhlak pemimpin-pemimpin yang kita boleh banggakan dan juga seterusnya ialah komitmen kita kepada perjuangan.

Saya rasa pemimpin-pemimpin PAS ini ialah principled man – tidak mudah melompat ke sana ke mari, dan itulah saya rasa suatu khazanah yang kaya di dalam PAS.

MO: Pertama, saya ucapkan terima kasih atas soalan tersebut kerana ia suatu gambaran menunjukkan penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan ahli-ahli Umno kepada Tok Guru Nik Aziz. Ia adalah satu penghormatan yang sangat tinggi kerana ini menunjukkan Tok Guru mempunyai ketinggian ilmu dan ketokohan yang ada pada beliau.

Namun begitu, dalam konteks parti, PAS tidak hanya berdiri atas kekuatan pemimpin semata-mata, tetapi PAS berdiri atas kekuatan daripada pelbagai sumber daya kekuatan yang ada ini.

Sebab itu ahli-ahli kita tidak pun lari walaupun pemimpin pergi sama ada melarikan diri ataupun meninggal dunia, tetapi ahli PAS tetap berdiri teguh kerana ahli PAS telah dididik satu didikan yang cukup kuat di mana penyertaan kita dalam perjuangan PAS ini bukan atas nama pemimpin tetapi atas kewajipan untuk memikul amanah daripada Allah.

Oleh sebab itu, para pemimpin melatih dan mendidik ahli-ahli untuk menghayati konsep ini – apabila mereka dapat menghayati konsep ini maka mereka berada di dalam PAS bukan kerana pemimpin, tetapi kerana kewajipan dan tanggungjawab amanah yang dipikul ini. Oleh kerana itu, walaupun ada pemimpin yang lari, ada pemimpin yang meninggal dunia, tapi ahli tetap berdiri bersama dengan perjuangan PAS.

Konsep ini jugalah yang dilakukan oleh PAS dalam membentuk budaya politik masyarakat Malaysia - supaya menyokong PAS itu bukan hanya sekadar kerana diri pemimpin itu, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk memikul amanah yang diberikan Allah ke atas kita.

Demikian juga dengan tanggungjawab pemimpin – ia bukan sahaja untuk penampilan diri dia, menonjolkan dari segi kehebatan diri dia sendiri tetapi penampilan yang diberikan pemimpin itu ialah penampilan yang menzahirkan amanah yang diberikan Allah Sub’hanahu Wa Ta’ala.

PAS membawa penampilan pemimpin parti dalam konteks integriti, kejujuran dan keikhlasan bukan sahaja pada diri seseorang pemimpin tapi semua pemimpin diberikan penekanan termasuk ahli-ahli untuk menampilkan satu penampilan yang membezakan kita dengan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang ada dalam negara kita ini.

Inilah yang menjadi penyambung seterusnya kepada perjuangan PAS ini walaupun dengan ketiadaan pemimpin atau kehilangan seseorang pemimpin tetapi yang adanya terus akan memberikan penampilan-penampilan yang sama sebab yang diberikan oleh Tok Guru Nik Aziz ialah integriti, kejujuran dan keikhlasan dan orang dapat melihat perbezaan pada Tok Guru Nik Aziz dengan yang ada apa pemimpin Umno.

Ini juga yang akan dibawa pemimpin-pemimpin PAS yang lain selain daripada Tok Guru Nik Aziz.

TITM: TGNA adalah tokoh besar mewarnai perjuangan PAS. Impak besar yang ada pada beliau telah berjaya membawa satu demensi baru dalam politik negara; saya akui ia sangat dihormati oleh lawan dan kawan - sehingga ada yang bimbang bilamana ketiadaan beliau.

Memang kita akui untuk mencari orang sepertinya adalah sukar. Namun PAS pernah mempunyai tokoh hebat dalam sejarah perjuangannya dan kehilangan mereka sangat dirasai, contohnya kehilangan Dr Burhanuddin al Hilmi, Dr Yusuf Rawa, Us Fadhil Nor juga mempunyai kesan besar dalam politik.

Itulah silih berganti kepimpinan, dan kita yakin Allah akan mengatur urusan agamanya dengan sebaik mungkin walaupun untuk mencari dan menandingi kehebatan seseorang tokoh sangat sukar.

Pemimpin yang paling baik ialah yang menyediakan penggantinya lebih baik darinya.

Soalan 3:

Mungkin tak Sabah dan Sarawak juga akan dijual secara senyap-senyap oleh Barisan Nasional? Apa pandangan Naib Presiden sekalian tentang perkara ini?

MO: P Ramlee banyak mengajar kita – pertama beliau memberikan walaupun secara gurauan, Alif Mim Nun Wau sepatutnya bunyinya UMNO tapi beliau membuat dalam bentuk joke, Alif tolak Mim tendang Wau, bunyinya Sarkas – jadi maknanya telahan P Ramlee ketika itu yang saya berpendapat bahawa itu adalah telaahan gurauan yang menunjukkan satu hari nanti UMNO akan menjadi sarkas.

Dan P Ramlee juga memberikan satu gambaran bahawa penyamun atau orang-orang yang mencuri di kampung satu hari nanti akan menjadi penyamun ‘collar’ putih. Begitulah juga soalan pembaca di atas seperti mana P Ramlee menggambarkan bahawa suatu hari nanti keluarga pun boleh dijual demi harta seperti dalam filem Tiga Abdul.

Yang saya nak kaitkan di sini ialah bagaimana bapa mertua Ahmad Nisfu ini jual menantu dia hanya semata-mata untuk mendapatkan harta. Perkahwinan anak dia itu, hanya untuk merebut harta kekayaan yang ada pada menantu dia.

Akhirnya apabila menantu dia melanggar peraturan undang-undang yang ada dalam rumah dia, dia jual kerana perjanjian itu kata kalau marah, semua harta akan diambil oleh bapa mertua.

Jadi P Ramlee sudah bagitahu lama bahawa kerana harta, segalanya boleh dijual walaupun menantu dia. Jadi macam itu juga pemimpin Umno, kalau kerana wang dan Ringgit Malaysia, Blok L dan M dia jual, tak mustahil Sabah dan Sarawak ini pun dia boleh jual.

TITM: Persoalannya apakah Sabah dan serawak juga akan turut ‘terjual’ secara senyap-senyap oleh BN - memang realiti kini pun telah berlaku.

Kedua negeri ini mempunyai hasil yang santa besar, dan mampu menjana ekonomi yang herat. Namun, mereka adalah negeri yang rakyatnya paling miskin di Malaysia.

Hakikatnya, kekayaan hanya dikaut oleh pemimpin dan kroninya sahaja. Rakyat menyaksikan bagaimana hasil mahsul sabah dan Sarawak diangkut keluar di hadapan mata mereka menyebabkan mereka masih lagi terbelenggu dengan kemiskinan - jauh dari arus pembangunan sehinggakan kemudahan asas gagal disediakan.

Keperluan utama seperti jalanraya, leterik dan bekalan air bersih masih Belem disediakan meskipun mereka didendangkan dengan lagu pembangunan negara maju menjelang 2020.

Hentikan kerakusan ini dengan segera and mereka perlu bangkit membuat perubahan dalam PRU ke 13. Anda akan meyaksikan bagaimana hasil mahsul negeri tidak lagi berada dalam mulut-mulut buaya darat yang sedia menggadai negeri demi memenuhi nafsu mereka.

SA: Menjual negara ini, saya rasa sudahpun berlaku secara tidak langsung, terutama dalam isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara, ini cukup kita bimbang – jadi kita harus hati-hati untuk menghadapi isu ini dan menamatkan dan merehatkan BN dalam pilihanraya akan datang – itu sangat penting.

Tiada ulasan: