Sabtu, 7 Ogos 2010

Rumahtangga Raja Azura bergolak


SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Desas-desus pergolakan rumahtangga Raja Azura dan suaminya yang menjadi perhatian ramai sejak akhir-akhir ini ternyata benar apabila penyampai radio Sinar FM ini sendiri mengakui berusaha menyelamatkan rumahtangga yang telah sembilan tahun terbina.

Bagaimanapun, Raja Azura atau nama penuhnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, menafikan kunjungannya ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam Selasa lalu adalah untuk memfailkan penceraian.

:Sebaliknya kedatangannya bersama suami, Adzmin :Tan Sri Osman, 37, hanyalah untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Raja Azura berkata, selepas sembilan tahun mendirikan rumahtangga, dia tidak menafikan ada sedikit salah faham yang berlaku, tetapi perkara itu adalah lumrah kepada sesiapa sahaja yang bergelar suami isteri.

“Saya ibaratkan rumahtangga kami seperti sebatang jalan raya yang sudah banyak lubang-lubang. Suami saya pula sebagai kontraktor yang memainkan peranan untuk memikirkan bagaimana untuk menutup lubang-lubang tersebut,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Astro, Bukit Jalil, semalam.

:Tambahnya, jalan terbaik untuk menangani masalah rumahtangga adalah dengan menemui mereka yang arif dalam bidang agama bagi mendapatkan nasihat.

“Saya mengaku pergi ke Mahkamah Syariah, tetapi hanya untuk mendapatkan khidmat kaunseling mengenai rumahtangga kami.

“Selepas sesi kaunseling kali pertama itu, akan ada lagi sesi kedua. Selepas itu kita tengoklah hasil yang akan diperoleh berdasarkan kaunseling tersebut,” katanya yang menjalani sesi kaunseling itu secara tertutup.

Tambah Raja Azura lagi, dia bukannya sengaja mahu menyembunyikan perkara itu, jauh sekali mahu melarikan diri daripada media. Sebaliknya mahu berbincang dengan suami terlebih dahulu agar kenyataan yang diberikan tidak melukakan hati mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan secara melulu. Saya sedaya upaya mahu menjaga hati semua pihak, terutamanya hati suami dan ayah mertua saya.

“Saya takut bila banyak cakap, keadaan yang mula jernih akan menjadi keruh semula. Harapan saya rumahtangga yang telah sembilan tahun dibina ini dapat diperbetulkan seperti sedia kala,” katanya.

Malah Raja Azura berkata beliau masih tinggal sebumbung dengan suaminya dan mereka menjalankan peranan sebagai suami isteri seperti biasa.

“Sebelum saya adakan sidang media ini pun suami ada hantar mesej kepada saya. Dia kata “good luck”. Semalam pun (Khamis) saya memasak untuknya macam biasa,” katanya.

Tambahnya lagi, seboleh-bolehnya dia dan Adzmin tidak mahu mempamerkan kekeruhan di hadapan anak-anak dengan harapan agar keharmonian rumahtangga akan terus terpelihara.

“Baru-baru ini kami ada bercuti dan meluangkan masa bersama di Port Dickson. Selain meluangkan masa dengan anak-anak, kami juga berbincang bagaimana untuk menyelamatkan rumahtangga kami.

“Bagi saya jika kita dapat membuang ego jauh, saya tidak nampak apakah sebab utama untuk bercerai. Saya yakin rumahtangga kami akan dapat diselamatkan. Insya-Allah,” katanya.

:Pengacara program Ewah-Ewah itu berkahwin dengan Adzmin, iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, pada bulan Mac 2001. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak, iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7 dan Puteri Mia Maizurah, 4.

Tiada ulasan: