Ahad, 8 Ogos 2010

Rayuan kes kerusi Kota Siputeh 20 dan 22 September


Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR - Tarikh pendengaran rayuan berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh ditetapkan pada 20 dan 22 September ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, tarikh itu diputuskan oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya semasa pengurusan kes tersebut pada 29 Julai lalu.

''Saya telah diberitahu secara hitam putih oleh peguam saya mengenai penetapan tarikh berkenaan. Diharapkan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 24 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membenarkan penangguhan interim (sementara) yang dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh sementara menunggu rayuan.

SPR mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, seterusnya mengundang satu lagi pilihan raya kecil berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut, Datuk Abu Hasan Sarif menghadiri sidang Dewan pada 19 April dan 9 Ogos tahun lalu.

Abdul Isa berkata, kes berkenaan wajar diselesaikan secepat mungkin supaya penduduk di DUN itu mempunyai wakil rakyat mereka.

Tiada ulasan: