Khamis, 19 Ogos 2010

Rayuan bekas tahanan ISA ditolak

BERNAMA


Mahkamah Persekutuan menolak rayuan writ habeas corpus seorang rakyat Malaysia dan tujuh warga asing, yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dengan keganasan antarabangsa.

Rakyat Malaysia berkenaan ialah Azzahari Murad, manakala warga asing terbabit ialah Luqman Abdul-Salam, Uthman Abdul-Alhi Bolajoko, Aiman Yosof Aldakkak, Mohamed Hozifa Aiman Al Dakak, Kutiba Ahmad Al Issa, Khalid Saleem Mohammed dan Hasan Mohamed Murei Korban Baroudi dari Asia Barat dan Afrika.

Mereka ditangkap mengikut ISA pada 21 Jan tahun ini di sebuah rumah di kampung Sungai Cincin, Batu 8-1/2, Jalan Gombak, di Kuala Lumpur kerana disyaki mengambil penduduk asing dan warga tempatan untuk menganggotai sebuah kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dengan cara menganjurkan kelas agama secara rahsia yang memberi penekanan terhadap jihad menggunakan senjata api terhadap kepentingan bukan Islam, dianggap mengancam dan membahayakan keselamatan nasional.

Bagaimanapun, setelah siasatan selesai dijalankan pada 10 Mac, tujuh warga asing berkenaan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara masing-masing, manakala Azzahari dikenakan perintah kediaman terhad selama dua tahun di daerah Petaling Jaya melalui satu perintah oleh menteri dalam negeri mengikut seksyen 8(5) ISA.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, yang mengetuai panel tiga hakim, membuat keputusan bahawa mahkamah berkenaan tidak dapat mendengar rayuan itu kerana keputusan mahkamah tertinggi telah menyebut dengan agak jelas bahawa habeas corpus hanya boleh diberi kepada seseorang yang sedang ditahan dengan secara fizikal dengan cara yang tidak sah dan dia mestilah sedang berada dalam tahanan.

Dua lagi anggota panel itu ialah hakim-hakim mahkamah persekutuan Tan Sri James Foong dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Zaki membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili lapan bekas tahanan berkenaan dan peguam kanan persekutuan Najib Zakaria, yang bertindak bagi pihak ketua polis negara, menteri dalam negeri dan kerajaan.

Pada 11 Mac, mahkamah tinggi menolak permohonan habeas corpus mereka dan memutuskan ia menjadi bahan akademik kerana mereka tidak lagi berada dalam tahanan polis.

Amer Hamzah berkata setelah mendengar rayuan itu, mahkamah patut memutuskan sama ada lapan anak guamnya telah ditahan secara wajar.

Zaki memberitahu Amer Hamzah bahawa sekiranya beliau beranggapan anak guamnya ditahan secara salah, maka beliau boleh memfailkan saman mengenainya.


Tiada ulasan: