Rabu, 4 Ogos 2010

Qari Mesir, qariah Pakistan muncul johan tilawah al-Quran

BERNAMA


Qari dari Mesir, Hani Abdel Aziz Ahmed dan Qariah dari Pakistan Samia Khanan yang dinobatkan johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-52 bergambar kenangan bersama piala yang dimenangi di PWTC di sini, malam tadi. - Bernama

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Peserta dari Mesir Hani Abdel Aziz Ahmad dan peserta dari Pakistan Samia Khanan dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-52 yang berlangsung di sini malam tadi.

Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000 (RM31,975), piala, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Johan qari memperoleh pungutan markah sebanyak 91.46 peratus sementara johan qariah mendapat 91.08 peratus.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isteri Datin Fatmawati Saidin, bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam Pengiran Datuk Seri Setia Dr Mohammad Pengiran Abdul Rahman.

Sementara itu, qari dari Malaysia Wan Ainuddin Abdullah dan qariah dari Brunei Dayang Nurfaezah Emran muncul naib johan qari dan qariah melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,000 (RM22,382) bagi setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula dimenangi qari dan qariah dari Filipina iaitu Abdul Wadoud K. Esmail dan Monaifah A. Bogabong Alawi melayakkan mereka untuk membawa pulang wang tunai AS$4,000 (RM12,790) setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Peserta-peserta lain menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai AS$1,500 (RM4,796) setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah” itu berlangsung selama lapan hari bermula 27 Julai lepas dan disertai 76 peserta dari 47 negara, dengan menyaksikan empat negara pertama kali menghantar peserta tahun ini iaitu Kazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti.

Sementara itu Hani Abdel Aziz Ahmed ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau amat terkejut dengan kejayaan yang dicapai tetapi menyifatkannya sebagai anugerah Allah.

“Saya terkejut dengan kemenangan ini... ini semua kelebihan dan mukjizat dari Allah untuk membuat kita semua lebih bertaqwa,” katanya dalam bahasa Arab Mesir yang diterjemahkan oleh pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Samia pula mengakui tidak menduga akan mendapat kejayaan itu selepas beberapa kali menyertai pertandingan itu.

Naib johan qari Wan Ainuddin dari Wilayah Persekutuan berkata kemenangan yang diperolehi di tempat kedua itu memberi makna yang besar dalam kehidupannya memandangkan pertama kali menyertainya.

“Saya tidak menyangka memenangi tempat kedua pada malam ini kerana saya demam dan selesema teruk dua hari sebelum membaca al-Quran pada malam terakhir (semalam).

“Insya-Allah jika diberi peluang akan menyertai pada masa akan datang,” kata johan Qari itu pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-53.

Wan Ainuddin yang juga imam di masjid Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya berkata golongan muda perlu berani untuk mendalami isi kandungan al-Quran yang menjadi pedoman hidup di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: