Jumaat, 20 Ogos 2010

PSM Cadang GLC Selangor Pelopori Laksana Dasar Gaji Minima

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim mengesyorkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor mampu menjadi contoh dan pelopor kepada usaha untuk mengimplementasikan Akta Gaji Minima kerana negeri itu dilihat mempunyai kapasiti dan upaya untuk melaksanakannya.

Justeru itu beliau bercadangkan untuk membentangkan saranan ini pada sidang Dewan Negeri Selangor kelak.

"Usaha ini akan kita angkat di dalam Dewan Negeri Selangor, kerana isu gaji minima telah lama diperjuangkan. Jika kita hendak menguatkuasakan akta ini, mengapa tidak kita mula dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri Selangor. Ia akan menjadi model atau contoh kepada negeri-negeri lain," kata Dr Nasir.

Beliau menjelaskan demikian dalam sidang media di ibu pejabat PSM di Brickfields pagi semalam.

Dr Nasir berkata isu PSM bersedia untuk membantu kerajaan negeri Selangor berhubung perlaksanaan gaji minima.

"Dengan tindakan ini, syarikat-syarikat swasta lain akan menuruti langkah tersebut. Kita memang berusaha untuk membantu rakyat, dan kempen ini akan dijalankan secara berterusan dari masa ke semasa. Pada peringkat parti kita di Kota Damansara, kita kerap lakukan penerangan ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Nasir turut mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menghentikan semua pindaan akta berkaitan pekerja yang didakwanya menindas hak semasa pekerja, yang turut akan memberikan mudarat pada kelompok tersebut pada masa akan datang.

"Kita seperti kini kembali ke zaman perhambaan. Ini sangat menyedihkan kerana, pekerja merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Kita tidak boleh menjadikan para pekerja ini seperti bahan komoditi. Mereka ini mempunyai keluarga, dan mempunyai harga diri. Kita lihat sekarang ini tekanan kepada pekerja dan kesatuan pekerja semakin kritikal," tegasnya.

Antara akta yang bakal menghadapi pindaan adalah Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Sehubungan itu, PSM akan berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara, dan akan menggerakkan kempen bantahan kepada pindaan undang-undang tersebut sebaik sahaja selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Antara rangkuman utama dalam kempen tersebut adalah tuntutan pelaksanaan Akta Gaji Minima, pengurangan subsidi kepada sektor korporat dan industri, yang seharusnya disalurkan semula kepada rakyat, dan menghentikan usaha untuk memulakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Selain itu mereka menuntut pengekalan fungsi perkhidmatan awam seperti hospital, prasarana baik dan percuma dalam bidang pendidikan, rumah selesa yang mampu dimiliki oleh rakyat dan perkhidmatan pengangkutan awam yang syarikat.

Tiada ulasan: