Isnin, 16 Ogos 2010

Presiden Anak saman Felda dan tiga yang lain Rm 20 juta


logo-felda2 Oleh Fazy Sahir

TEMERLOH: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman memfailkan saman malu sebanyak RM20 juta berhubung penahanannya yang didakwanya tidak sah Mac lalu.

Mazlan menamakan empat defendan berhubung penahanannya ketika membuat lawatan di Felda Lembah Klau, Raub pada 9 Mac lalu.

Empat defendan terbabit – kerajaan Malaysia, Felda, pengurus Felda Lembah Klau Sungai Ruan Awang Sulong dan Inspektor Mohd Azran Rahmat – pegawai polis yang menangkapnya.

Mazlan yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu dalam samannya mendakwa defendan ketiga (Mohd Azran) melakukan penahanan yang salah terhadap plaintif bagi tempoh 9 Mac hingga 11 Mac lalu.

Beliau menuntut deklarasi bahawa perintah reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Raub bertarikh 10 Mac terhadap plaintif (beliau) adalah cacat, salah dan tidak sah.

Mazlan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub 9 Mac lalu turut membuat laporan berikutan tindakan pengurusan Felda yang cuba menahannya.

Katanya, nilai saman itu bukan menjadi persoalan namun reputasinya tercalar ekoran insiden itu.

"Ini bukan soal nilai tetapi keadilan dalam memperjuangkan hak kami sebagai peneroka. Reputasi dan maruah saya dah tercalar. Mereka tidak hormati hak dan kebebasan saya.

"Dan saman ini bawa maksud para peneroka tidak takut untuk memperjuangkan hak mereka," katanya yang dihubungi FMT.

Dilaporkan Mazlan ditahan satu hari untuk disiasat kerana dakwaan menceroboh Felda Lembah Klau.

Mazlan difahamkan membuat lawatan ke Felda berkenaan untuk menziarahi tiga peneroka yang ditahan polis sebelum ini atas dakwaan menceroboh kawasan empangan Krau serta mengadakan dialog dengan generasi kedua di Felda berkenaan.

Tiada ulasan: