Rabu, 4 Ogos 2010

Polis yakin tiada pihak ketiga dalam kes kematian bekas ADUN Permatang

BERNAMA

KLANG: Polis yakin tiada pihak ketiga terbabit dalam kes kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) kawasan Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh bersama bekas pembantu peribadinya semalam, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata, siasatan pihaknya hanya menjurus kepada mengetahui motif sebenar tembakan dilepaskan (terhadap mangsa).

"Berdasarkan siasatan awal, tidak ada suspek yang kita nak cari dan kita nafikan ada pihak ketiga berada di tempat kejadian ketika kejadian berlaku.

"Kita sedang dalam proses merakam percakapan saksi dan mengenai ahli keluarga pula kita akan tunggu mereka bertenang dulu sebelum rakaman percakapan mereka diambil," katanya selepas menutup Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Selangor 2010 di sini, hari ini.

Abdul Aziz, 64, ditemui mati bersama Siti Rohana Ismat, 43, dengan kesan tembakan pada kedua-dua kepala mereka dalam kereta yang dipandu Abdul Aziz yang terbabas di Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini pada 11 pagi semalam.

Mengulas desas-desus yang menyatakan bahawa kedua-dua mangsa mempunyai ikatan perkahwinan, Khalid berkata: "Saya tidak mahu komen apa-apa tentang itu, biar kita siasat dulu.

"Kita kena hormati ahli keluarga dan jangan buat apa-apa spekulasi. Perkara yang mungkin membabitkan peribadi kita tidak akan sentuh," katanya.

Beliau berkata, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu sebelum mengadakan perbincangan dengan pihak Peguam Negara.

Tiada ulasan: