Ahad, 1 Ogos 2010

Polis halang ceramah Pakatan, 7 ditahan

MALAYSIA KINI


Anggota polis, termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menghalang ceramah Pakatan Rakyat diadakan di Batu Pahat malam tadi.

Polis menahan tujuh orang ketika menyuraikan orang ramai yang berhimpun untuk mendengar ucapan.

Ceramah anjuran PKR Batu Pahat itu dijadual dihadiri - antara lain - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut ketua penerangan PKR, Latheefa Koya, cabang parti tersebut telah memohon permit untuk mengadakan ceramah itu di tempat lain, tetapi memilih mengadakannya di markaz PAS di situ selepas polis menolak permohonan tersebut "atas sebab-sebab keselamatan".

Ketika orang ramai mula berhimpun untuk mendengar ucapan pemimpin Pakatan, anggota polis tiba dengan menaiki kereta dan trak, termasuk 10 trak FRU.

Selepas meminta ceramah itu diadakan dalam dewan markaz PAS di situ, polis kemudiannya dikatakan mengubah fikiran dan tidak membenarkan ceramah itu diadakan langsung.

Ketika bertindak menyuraikan orang ramai di dalam dewan tersebut, polis menahan tujuh orang - dua daripadanya tidak menghadiri ceramah itu tetapi merupakan peniaga yang membuka gerai di situ - dan dibawa ke balai polis Rengit.

Poster dan kain rentang turut diturun dan dikoyak, manakala alat sistem pembesar suara turut dirampas oleh polis, kata Latheefa.

Pihak markas PAS dan pemilik sistem pembesar suara itu dilaporkan telah membuat laporan ekoran rampasan tersebut serta mendakwa polis "menceroboh kawasan persendirian".

Antara mereka yang ditangkapkan itu, empat daripadanya telah melaporkan dipukul oleh anggota polis.

“Ini adalah penyalahgunaan kuasa yang serius," kata Latheefa ketika dihubungi Malaysiakini.

Media rasmi PAS - Harakah - melaporkan, antara yang hadir di ceramah tersebut ialah timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali dan ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Tiada ulasan: