Isnin, 23 Ogos 2010

Polis Dibidas Ambil Sikap Sambil Lewa Siasat Surat Ugutan Bunuh


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Pihak polis dikritik kerana mengambil sikap sambil lewa serta tidak serius menyiasat berhubung surat ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beliau dan Tony telah menggunakan alatulis di pejabat Tony untuk membuka sampul surat ugutan itu tanpa menyentuh sampul dan bahan bukti di dalam sampul berkenaan agar tidak merosakkan bahan bukti.

"Saya amat terkejut apabila polis membuka sampul surat berkenaan dengan tangan sahaja, malah telah memberikan sampul serta kandungannya kepada rakan-rakannya yang mana kesemua mereka telah menggunakan tangan memegang bahan bukti, walaupun setelah diberitahu isu kandungan sampul berkenaan yang berbentuk ugutan bunuh.

"Kita tidak perlukan pakar forensik untuk membuat kesimpulan bahawa tindakan polis tersebut telah menyebabkan 90 peratus bahan bukti dikompromi dan tercemar akibat tindakan anggota polis," tegas Lip Eng dalam satu kenyataan.

Kata Lip Eng, sampul yang mengandungi surat dan sebutir peluru hidup M-16 dijumpai di pejabat Tony Pua pada 11 Ogos lalu dan telah di bawa ke Balai Polis Damansara Jaya untuk dilaporkan.

Beliau berkata tindakan polis tersebut boleh menimbulkan persoalan bahawa siasatan telah pun dicemari apabila anggota polis menyentuh bahan bukti.

"Polis juga telah mengambil sampel DNA daripada Tony dan pegawainya untuk memastikan mereka berdua tidak menghantar sampul berkenaan. Tetapi saya tetap sangsi dengan tindakan polis yang mengambi sampel DNA hanya seminggu selepas laporan dibuat," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: