Rabu, 4 Ogos 2010

Poligami: Keputusan rayuan Bung Mokhtar 11 Ogos

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam hari ini menetapkan 11 Ogos depan untuk memutuskan rayuan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang dikenakan hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam syarie Amli Embong dan Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md Yusof.

Bung Moktar, 51, yang hadir dengan ditemani isteri keduanya pelakon Zizie Izette A Samad, 31, memfailkan rayuan itu 25 Mei lepas bagi memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

P
ada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman tersebut selepas anggota Parlimen Kinabatangan itu mengaku berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lalu.

Bung Moktar turut didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Zizie Izette berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk. Beliau membayar denda itu.

Terkhilaf

Terdahulu, Amli berhujah bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta kerana membuat keputusan tanpa mempertimbangkan pengakuan salah anak guamnya yang dibuat dengan penuh keinsafan.

Beliau berkata Bung Moktar merupakan pesalah pertama dan pengakuan tersebut telah membantu menjimatkan masa dan kos mahkamah.

"Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman penjara ke atas anak guam saya tanpa mengambil kira kedudukan anak guam saya sebagai anggota Parlimen, dan menjatuhkan hukuman atas alasan sekiranya hukuman setimpal tidak dijatuhkan, akan mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap kredibiliti Mahkamah Syariah.

"Selain itu, Hakim Mahkamah Rendah Syariah terkhilaf bila gagal pertimbangkan mengenai kesan hukuman pemenjaraan terhadap kerjaya dan keadaan kewangan anak guam saya, selain terkhilaf kerana gagal pertimbangkan fakta bahawa anak guam saya ke mahkamah bukan kerana ditangkap, sebaliknya atas kerelaan sendiri," katanya.

Amli juga berhujah bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah terkhilaf kerana hanya mengambil kira hukuman kerana berpoligami, tetapi tidak mengambil kira keadaan mengapa perbuatan poligami itu dilakukan, selain turut menganggap bahawa perkahwinan Bung Moktar sebagai satu sindiket.

Zusyarafain pula berhujah hukuman penjara itu wajar dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan Bung Moktar dan menjadi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati pada masa depan, selain memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.

Beliau berkata sekiranya hukuman itu tidak dikekalkan, maka semua hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah akan dipandang rendah oleh masyarakat, termasuk bukan Islam selain menggalakkan mereka melanggar undang-undang syariah pada masa depan.

Anggapan peribadi

"Pihak kami turut menegaskan bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah tidak terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman, kerana sebagai anggota Parlimen, adalah tidak wajar perayu tidak tahu prosedur yang perlu dipatuhi sebelum berpoligami, lebih-lebih lagi isu poligami bukan isu kecil (sehingga) menyebabkan perayu terlepas pandang.

"Malahan perkahwinan ini bukanlah yang pertama kali buat perayu, jadi dakwaan bahawa beliau tidak mengetahui asas (berpoligami), tidak boleh diterima.

"Mengenai dakwaan perayu sekiranya hukuman penjara dikenakan akan mendorong lebih banyak kes berpoligami tanpa kebenaran, kami menolak anggapan ini kerana ia hanya anggapan peribadi beliau," katanya.

Zusyarafain juga berhujah bahawa hukuman tersebut akan menyebabkan masyarakat lebih berhati-hati untuk melanggar undang-undang syariah, kerana jika seorang pemimpin boleh dihukum sedemikian rupa, maka tidak mustahil orang biasa menerima nasib yang sama.

"Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga tidak salah menganggap bahawa perkahwinan ini satu sindiket kerana ia tidak mengikut saluran yang betul.

"Islam menyarankan supaya perkahwinan diuar-uarkan bagi mengelakkan timbulnya fitnah, dan tindakan menyembunyikan perkahwinan akan memberi kesan negatif kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon agar rayuan Bung Moktar ditolak dan hukuman penjara terhadap anggota Parlimen Kinabatangan itu dikekalkan.


Tiada ulasan: