Jumaat, 20 Ogos 2010

Pil khayal RM15 juta dirampas dalam gudang di Ipoh

BERNAMA

IPOH: Polis merampas lebih sejuta pil khayal Eramin 5 bernilai RM15.2 juta dalam serbuan disebuah gudang di sini semalam, hasil susulan daripada terbongkarnya kegiatan sebuah sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Ayer Hitam, Johor, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin, berkata sebanyak 1,015,500 biji dadah itu dijumpai dalam gudang sebuah syarikat pengangkutan yang terletak di Jalan Kuala Kangsar di sini.

Beliau berkata dadah berkenaan tersorok dalam 58 gulungan kain dengan setiap gulungan mengandungi tiga bungkusan pil itu."Ini adalah rampasan terbesar pil Eramin 5 di negara tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zul Hasnan berkata penemuan berkenaan adalah hasil tangkapan 17 anggota sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing di Ayer Hitam pada 12 Ogos lalu.

Dalam tangkapan berkenaan, mereka yang ditahan berusia antara 28 dan 74 tahun terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, empat warga Taiwan, tiga warga Singapura dan seorang warga Indonesia. Tiga daripada mereka adalah wanita iaitu dua warga Taiwan dan seorang wanita tempatan.

Katanya sindiket berkenaan tertumpas hasil risikan selama lebih setahun oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang mendapat kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Dadah Taiwan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti anggota sindiket yang lain dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata negeri ini bukan menjadi pusat pengedaran dadah, sebaliknya hanya dijadikan transit untuk aktiviti jenayah itu. -

Tiada ulasan: