Sabtu, 21 Ogos 2010

Pertarungan sengit dalam 26 Cabang PKR Sabah


LOGO PKR 1 Oleh Luke Rintod

KOTA KINABALU: Pertarungan sengit dijangka berlaku bagi merebut jawatan dalam 26 Cabang PKR di Sabah, termasuk Labuan.

Penamaan calon untuk pilihan raya PKR Sabah ditetapkan pada 28 dan 29 Ogos manakala hari mengundi sama ada 18 atau 19 September depan.

Ini menjadi mercu tanda pilihan raya parti di Malaysia kerana buat pertama kali semua ahli parti politik melantik terus para pemimpin mereka menerusi undi.

Kesemua parti lain, termasuk rakan dalam Pakatan Rakyat – DAP dan PAS – masih mempraktikkan cara lama dalam melantik para pemimpin melalui para perwakilan dalam sistem demokrasi.

Di bawah sistem ini, ahli-ahli menamakan sejumlah kecil perwakilan untuk menghadiri mesyuarat agung di mana para perwakilan akan melantik ahli jawatankuasa masing-masing.

Kebanyakan Cabang mempunyai lebih 2,000 ahli dan ini bermakna tanggungjawab besar untuk mengendalikan pilihan raya dengan licin.

Sementara pemimpin-pemimpin PKR Sabah agak keberatan untuk mengakui terdapat beberapa puak dalam parti, para pemerhati dan sumber dalaman parti berkata, pertembungan di antara dua kumpulan, kumpulan pro-Jeffrey Kitingan dan pro-Ansari Abdullah, akan berlaku dalam pilihan raya ini.

"Orang-orang kuat kedua-dua Jeffrey dan Ansari kini sedang sibuk mengadakan perbicangan dan mesyuarat. Kumpulan yang mempunyai paling ramai Ketua Cabang besar kemungkinan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Tertinggi Negeri," kata sumber dalaman parti.

Dasar PKR, bukan perlembagaan, akan menentukan hanya para pemimpin Cabang akan melantik ketua PKR negeri kemudian menerusi kertas undi.

Jawatan itu kini disandang oleh Ahmad Thamrin Jaini, yang dilantik oleh Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Bukan menjadi rahsia lagi bahawa mereka dalam kumpulan Jeffrey ialah Christina Liew, Daniel John Jambun, Edward Linggu, Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Mozes Iking, Saidi Simoil, Jalumin Bayogo, Innocent Makajil dan Sylvester Balon.

"Mereka dalam kumpulan Ansari pula ialah Halik Zaman, Jonathan Yasin, Roland Chia, Kong Hong Ming, Hamzah Amir, Anthony Mandiau, Mursalim Tanjul, Paul Kuliling dan Danny Andipai.

"Kesemua mereka akan mempertahan atau merebut jawatan Ketua Cabang," kata sumber parti kepada FMT.

Ada juga terdapat mereka yang mahu dilihat sebagai "tidak terlibat atau bersikap neutral" dan di antara mereka yang termasuk dalam kumpulan ini ialah John Ghani, James Ghani, Awang Tangah Awang Amin, Nahalan Damsal dan beberapa orang lagi.

Perlawanan persahabatan

Agak menarik, Saidil dan Jalumin akan mengadakan "perlawanan persahabatan" di Cabang Kota Belud. Bagaimanapun, calon ketiga yang mungkin muncul iaitu Shukor Momin, yang dipercayai condong kepada kem Ansari.

Adalah difahami Jeffrey, yang kini menerajui Cabang Keningau, akan bertukar ke Pensiangan dan menentang Andipai, orang kuat Ansari di pedalaman.

Mozes, yang menentang Joseph Pairin Kitingan di Tambunan dalam pilihan raya umum lalu, dijangka bertanding di Cabang Keningau tapi akan dicabar oleh John Jinus Sibin, proksi Ansari.

Ansari, penyandang ketua Cabang Tuaran, akan ditentang oleh bekas Adun Tamparuli, Edward Linggu dalam satu pertarungan sengit yang dinanti-nantikan.

Pengagihan kertas penamaan calon dari Kuala Lumpur, untuk semua Cabang bermula beberapa hari lalu.

"Jawatankuasa Pilihan Raya" dalaman dari Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya akan mengendalikan pilihan raya itu dengan dibantu oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Negeri.

Sementara itu, bekas Setiausaha Perhubungan Negeri PKR, Kanul Gindol, apabila dihubungi FMT berkata, "pilihan raya parti akan memberi gambaran bagaimana para pemimpin membawa diri dan sama ada beberapa pemimpin akan mengekalkan reputasi "baik atau buruk".

"Keputusan pilihan raya PKR di sini akan menentukan hala tuju PKR Sabah – sama ada bebas dari Kuala Lumpur atau akan ditarik hidung……," kata Gindol.

Tiada ulasan: