Khamis, 19 Ogos 2010

Permohonan Subramaniam halang akhbar terbit artikel ditolak

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, untuk menghalang sebuah akhbar bahasa Tamil daripada terus menerbitkan artikel fitnah mengenainya.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menolak dengan kos permohonan Subramaniam selepas mendengar hujah peguam kedua-dua pihak di dalam kamar.

Pada 7 Jun, Subramaniam memfailkan saman terhadap Makkal Osai kerana memfitnah beliau dalam tiga artikel yang diterbitkan akhbar itu pada 24, 25 dan 29 Mei tahun ini.

Beliau menamakan penerbit Makkal Osai, Makkal Osai Sdn Bhd; pencetak akhbar itu, FKZ Printing Sdn Bhd; wartawannya K Devandran; dan bekas pengerusi MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V Subramaniam sebagai defendan dalam saman itu.

Peguam K Saraswathy y6ang mewakili penerbit, pencetak dan wartawan itu memberitahu pemberita bahawa tiada asas yang diberikan hakim dalam menolak permohonan Subramaniam.

Peguam J Chandra mewakili defendan keempat, V Subramaniam, manakala P Paari mewakili Subramaniam.

Dalam kenyataan tuntutannya, Subramaniam mendakwa bahawa artikel itu menggambarkan beliau sebagai ahli politik yang tidak jujur dan penipu.

Beliau memohon kepada mahkamah bagi perintah injunksi bagi menghalang defendan melalui ejen mereka atau individu daripada terus menerbitkan semula artikel itu.

Subramaniam memohon ganti rugi am, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Tiada ulasan: