Isnin, 9 Ogos 2010

Perkasa buat laporan polis penulis blog hina Islam

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis terhadap penulis blog Central for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang, yang menulis artikel berbentuk perkauman serta mempertikaikan hak, agama Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini.

Ketua Wira Perkasa Malaysia Arman Azha Abu Hanifah yang membuat laporan itu di Balai Polis Sentul pada pukul 2 petang, berkata Ang antara lain didakwa menulis artikel yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin serta menimbulkan kebencian terhadap baginda.

“Kami dengan ini menggesa kerajaan melalui pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap penulis artikel berkenaan kerana ia dilihat akan membangkitkan perasaan benci masyarakat Malaysia yang berbilang kaum terhadap kedudukan istimewa Islam dan Bumiputera di negara ini.

“Kami berpendapat kandungan artikel itu juga mampu memecahbelahkan kaum di negara ini selain menggugat keselamatan negara kerana ia berunsur hasutan serta mengundang ketegangan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Artikel lain yang terkandung dalam blog http://english.cpiasia.net/ itu mempertikaikan pembacaan doa di kalangan umat Islam semasa perhimpunan di sekolah-sekolah serta mempersoalkan kenyataan bahawa agama Islam itu adalah agama yang terbaik dan sempurna.

Artikel tersebut diterbitkan pada 4 Ogos lepas.

“Walaupun kita diberi kebebasan bersuara, namun warga Malaysia boleh didakwa kerana mempersoalkan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan Islam, Melayu dan institusi Raja,” kata Arman Azha.

Tiada ulasan: