Rabu, 18 Ogos 2010

Perkasa bantah drama Kristian di Shah Alam ketika Ramadan


KUALA LUMPUR — Perkasa membuat laporan polis agar Gereja Grace di Shah Alam dan pastornya disiasat berhubung rancangan mereka yang mahu mengadakan pementasan Kristian dalam komuniti yang mempunyai majoriti orang Islam ketika Ramadan.

Namun, pastor Joseph Marcose berkata, rancangan untuk mengadakannya pada 4 September ini telah dibatalkan kerana cuti panjang.

Pengerusi Perkasa Daerah Petaling Zainal Abidin telah membuat laporan polis terhadap gereja Protestant dan Marcose semalam.

“Kami mahu pihak gereja dan paderi disiasat berhubung elemen hasutan menghina Sultan,” kata Zainal kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata gereja tersebut merancang untuk mengadakan drama bertajuk “Harapan” di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) ketika Ramadan.

Walaupun drama itu bukan untuk orang Islam, Zainal melahirkan rasa bimbang sekiranya pihak gereja mahu menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam.

Beliau berkata terdapat bazar Ramadan sekitar SACC, selain terdapat program berbuka puasa di premis tersebut.

Zainal menambah, kebimbangan itu ada asasnya kerana terdapat sebuah rencana yang ditulis Marcose berjudul “Kenapa Kita Berada di Shah Alam” yang menunjukkan ia seolah-olah mahu menyebarkan agama Kristian kepada semua masyarakat di Shah Alam.

“Ia jelas menunjukkan kehadiran mereka,” katanya.

Selain membuat laporan polis, Perkasa juga menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam Selangor dan SACC.

Beliau mendesak majlis itu untuk menasihati pihak gereja yang dilihat bertentangan dengan undang-undang Islam Selangor dan Perlembagaan yang menyekat penyebaran agama lain kepada orang Islam.

Perkasa juga meminta SACC untuk membatalkan tempahan dibuat gereja tersebut.

Ketika dihubungi, Marcose terkejut kerana Perkasa telah membuat laporan polis terhadapnya dan juga gereja.

“Tiada sesiapa yang beritahu kami dan saya tidak tahu macam mana nak respons,” katanya.

Tapi Marcose berkata gereja berusia 20 tahun di Jalan Unyang, Taman Alam Mega di Shah Alam telah membatalkan drama tersebut.

“Kita telah mengambil keputusan untuk membatalkannya kerana ia musim cuti panjang dan ramai ahli bercuti ke luar,” katanya.

Beliau juga menjelaskan drama tersebut telah dibincangkan sempena Hari Kebangsaan dan ia hanya untuk bukan Islam.

Marcose juga menjelaskan bahawa artikel yang dipaparkan dalam lawan web gereja hanya untuk menggalakkan ahli mereka.

“Itu hanya buletin gereja untuk ahli. Kita tidak paparkan di merata-rata,” katanya.

Marcose berkata gereja mematuhi sepenuhnya undang-undang dan menafikan mereka mahu menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam.

“Kita bersedia untuk bekerjasama sekiranya polis menjalankan siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: