Selasa, 3 Ogos 2010

Perbicaraan Penuh Kes Saman Musa Terhadap Anwar 13 Oktober Depan


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Perbicaraan kes saman Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung insiden mata lebam pada 1998 akan bersambung melalui perbicaraan penuh pada 13 Oktober depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham memerintahkan Anwar meminda pernyataan pembelaannya terhadap saman yang dikemukakan oleh Musa itu.

Peguambela, Sankara Nair yang dihubungi Suara Keadilan Online berkata keputusan pesuruhjaya hakim itu adalah bersifat teknikal dan pihak pembelaan akan membuat pindaan dalam pernyataan pembelaannya.

"Hakim memutuskan alasan perlindungan mutlak yang dinyatakan dalam pembelaan Anwar, hanya boleh diterima oleh mahkamah jika beliau berjaya membuktikan beliau mempunyai keperluan mendesak untuk mendedahkan laporan polis berhubung insiden mata lebam pada 1998.

"Isu tersebut akan dihujahkan di mahkamah semasa perbicaraan penuh pada 13 Oktober nanti," katanya lagi.

Menurut beliau, hakim juga meminta supaya kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat pindaan masing-masing dan pengurusan kes dan perbicaraan tersebut akan dibuat pada tarikh itu nanti.

Anwar membuat laporan di ibu pejabat polis kontinjen Selangor pada 1 Julai, 2008, mendakwa Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan dan menyembunyikan beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Musa, dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 21 Julai, 2008, berkata dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti profesionalnya.

Beliau menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan itu.

Beliau dalam pada itu mendakwa kononnya tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan fitnah terhadap Anwar.

Tiada ulasan: