Sabtu, 21 Ogos 2010

Pengetua Sekolah Rasis Timbul Tandatanya Halatuju Bangsa Malaysia


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan hala tuju pembinaan bangsa Malaysia setelah 53 tahun Merdeka dan 47 tahun selepas pembentukan Malaysia sekiranya masih terdapat lagi pemikiran yang bersifat perkauman di kalangan pemimpin dan rakyat negara ini.

Menurut Kit Siang, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak benar-benar telus mempertahankan agenda 1Malaysia yang diperkenalkan beliau, Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra Kulai Johor, Siti Inshah Mansor yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini perlu dikenakan hukuman yang tegas.

"Tindakan disiplin paling tegas mesti diambil terhadap Siti Inshah, yang dengan jelas tidak sesuai memasuki perkhidmatan pendidikan masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia apatah lagi seorang pengetua sekolah - menentang dasar perpaduan 1Malaysia yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak April tahun lalu," ujar Kit Siang dalam kenyataannya.

Menurutnya, Siti Inshah yang membuat kenyataan berbaur perkauman seperti itu bukan sahaja perlu disingkirkan daripada perkhidmatan pendidikan, bahkan tidak layak mempunyai tempat dalam perkhidmatan awam.

Khamis lalu, Siti Inshah, semasa perhimpunan hari kemerdekaan di sekolah berkenaan menyatakan 'pelajar Cina tidak diperlukan dan boleh balik ke China ataupun Sekolah Foon Yew. Bagi pelajar India, tali sembahyang yang diikat di pergelangan tangan dan leher pelajar nampak seakan anjing dan hanya anjing akan mengikat seperti itu'.

"Apa yang tidak boleh diterima ialah Siti Inshah memperkecil, membuat kenyataan yang menyakitkan hati, tidak sensitif dan bersifat perkauman di satu majlis sambutan Hari Kebangsaan.

"Tema tahun ini perayaan Merdeka ialah 1Malaysia Menjana Transformasi. Tetapi betapa tidak bermakna apabila pengetua sekolah seperti Siti Inshah boleh menunjukkan penghinaan terhadap usaha menjadikan aset Malaysia paling penting dan terkaya iaitu satu model kepelbagaian biologi, etnik dan kebudayaan?" soal Kit Siang.

Tambah beliau, kenyataan melampau yang sama dibuat oleh Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail sebelum ini, yang merujuk kaum Cina di Malaysia sebagai pendatang, penumpang dan rakyat yang tidak boleh dipercayai.

Febuari lalu, bekas Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar melabel kaum India dan Cina di Malaysia sebagai pendatang dan menghina mereka dengan menyatakan kaum India datang ke Malaysia sebagai pengemis dan Cina terutamanya golongan wanita datang bagi menjual tubuh mereka.

"Peristiwa Ahmad Ismail-Nasir Safar-Siti Inshah menunjukkan kegagalan kolektif proses pembangunan bangsa Malaysia, 53 tahun selepas Merdeka, menggalas testimoni bagaimana tepat ungkapan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan bahawa - “Satu ketika dahulu kita adalah bangsa Malaysia”.

"Seperti Razaleigh mengenangkan, hero-hero murid sekolah dalam 1970an ialah Soh Chin Aun, R Arumugam, Isa Bakar, Santokh Singh, James Wong dan Mokhtar Dahari - semuanya merentasi batas perkauman.

"Kes Ahmad Ismail, Nasir Safar, Siti Inshah akan menjadi kejadian yang tidak masuk akal dalam dekad-dekad awal kemerdekaan negara kerana tiada sesiapa akan berfikir adalah munasabah seorang pengetua sekolah memperkecil, mengeluar kenyataan yang menyakitkan hati, tidak sensitif dan bersifat perkauman seperti yang telah dibuat dalam sekolahnya di Kulai, Khamis lepas," kata Kit Siang.

Tiada ulasan: