Rabu, 11 Ogos 2010

Peneroka saman Felda RM200 juta


felda logoOleh Zainal Abidin Nor

PETALING JAYA: Dalam usaha untuk menyekat Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) dari terus menindas para peneroka, dua penempatan tanah rancangan telah memfailkan tuntutan saman bernilai RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban semalam.

Seramai 766 peneroka dari tanah rancangan Serting dan Raja Alias menamakan Felda dan anak syarikat, Felda Palm Industries Sdn Bhd atas dakwaan penipuan dan pecah amanah.

Ketika dihubungi oleh FMT hari ini, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mengesahkan perkara ini dan menyatakan beliau turut hadir di mahkamah itu.

"Langkah ini diambil supaya Felda tidak berani lagi mengambil kesempatan dan menindas para peneroka pada masa akan datang," terang beliau.

Lebih 200 peneroka hadir di mahkamah ketika kes itu difailkan di pejabat pendaftar mahkamah berkenaan oleh Suhaimi Said bagi menunjukkan sokongan dan solidariti.

Menurut Mazlan, banyak lagi kes seperti itu di 317 tanah rancangan. Oleh sebab Felda mendakwa mereka tidak muflis maka kami boleh menuntut apa yang menjadi hak kami selama ini.

Dua hari lalu, beliau telah merasmikan pembukaan dua lagi tanah rancangan iaitu Felda Cempelak, Labis dan Felda Redong, Segamat, kedua-duanya di Johor.

Sepanjang bulan Ramadhan ini katanya, beliau akan membuat lawatan di tanah-tanah rancangan di seluruh negara untuk meninjau perkembangan semasa sambil berbuka puasa dengan para peneroka.

Bayaran ikut KPG oleh Felda lebih rendah

Sementara itu, peguam utama R Sivarasa berkata, para peneroka yang terikat dengan kontrak terpaksa menjual buah kelapa sawit kepada Felda Palm Industries, dengan kadar bayaran yang lebih rendah.

"Kadar perahan gred (KPG) yang dibayar oleh Felda adalah pada purata 18.9% berbanding 22%, kadar yang dicadangkan oleh MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia)," katanya kepada para pemberita, dipetik The Star.

Sivarasa berkata, dalam bulan Mac dan Julai, para peneroka menghantar sampel secara rambang hasil buah kepala sawit mereka kepada dua bilik makmal bebas untuk menilai KPG sebenar.

Keputusan dari kedua-dua makmal itu menunjukkan kadar perahan menghasilkan 24% dan 25.5%. Ini menunjukkan perbezaan sebanyak 6%-6.5% dari kadar yang digunakan oleh Felda Industries.

Sivarasa berkata, pasukan defendan mempunyai dokumen yang menunjukkan 84 peneroka dari tanah rancangan Serting Hilir 5 telah menghasilkan 9,515 tan hasil minyak sawit dalam 2008. Ini bermakna setiap peneroka telah mengeluarkan purata 113 tan untuk tahun tersebut.

Para peneroka dibayar purata RM560 setan dan dengan menggunakan kadar 6%, Felda telah menyebabkan kerugian sebanyak RM178 setan. Ini bermakna setiap peneroka menanggung kerugian sebanyak RM20,000 dalam tahun 2008.

Beliau berkata, Felda telah menyebabkan kerugian hampir RM200 juta kepada 766 peneroka dalam tempuh 15 tahun lalu.

Menurut beliau, para peneroka menuntut lain-lain kerugian kerana mereka beranggapan badan berkanun yang ditubuhkan itu yang sepatutnya memelihara kebajikan mereka sebaliknya menggunakan kuasanya untuk menindas mereka dengan penipuan dan pecah
amanah.

Sivarasa berkata, kes ini hampir sama dengan kes Kemahang di Kelantan di mana akhirnya, mahkamah mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada para peneroka.

Karip Salleh, wakil peneroka berkata mereka mengambil keputusan untuk memfailkan saman kerana mereka mahukan keadilan.

"Kami merasa ditipu dan mahu pihak defendan memulangkan apa yang menjadi hak kami," katanya.

Suhaimi Said berkata, para peneroka di tanah rancangan di Jengka, Bera dan Rompin, Pahang akan memfailkan saman yang serupa terhadap Felda.

"Kira-kira 3,000 hingga 4,000 peneroka akan menyaman Felda berhubung kadar KPG ini," katanya.

Tiada ulasan: