Selasa, 10 Ogos 2010

Peneroka Bangkit Bukti Wujud Penyelewengan

FARDILLA DIN

SEREMBAN – Seramai 766 peneroka Felda memfailkan saman RM200 juta terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda atas dakwaan menipu dan pecah amanah dalam urusan jual beli hasil kelapa sawit.

Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka daripada Felda Serting dan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan, di Mahkamah Tinggi Seremban.

Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Penipuan itu didakwa berlaku dalam pembayaran kadar perahan gred kelapa sawit sejak 2008 apabila Felda didakwa menggunapakai kadar 16 sehingga 19 peratus sedangkan nilai sebenar didakwa antara 24 hingga 25 peratus.

Sehubungan itu, semua plaintif menuntut ganti rugi am dan teladan, bersama faedah untuk penipuan dan pecah amanah yang berlaku.

Menurut peguam yang mewakili kes tersebut Sivarasa Rasiah, peneroka-peneroka tersebut kini bangkit dan berjuang untuk mempertahankan hak mereka setelah 15 tahun berdiam diri.

Ini adalah ekoran ketidak puasan hati mereka dengan pengurusan pihak Felda dan anak syarikatnya Felda Palm Industries Sdn Bhd.

Beliau berkata, saman tersebut berikutan peneroka merasakan diri mereka tertipu oleh pihak pengurusan Felda tersebut yang dibuat dengan sengaja mengurangkan kadar perahan gred (KPG) buah kelapa sawit itu.

“Saman ini berasaskan klausa tindakan penipuan dan pecah amanah yang kita kata telah dilakukan oleh pihak Felda dan anak syarikat mereka”

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata masyarakat Felda kian menyedari putar belit pengurusan agensi itu dan tidak mudah digula-gulakan.

Beliau yang turut berkata bahawa kes tersebut bukan lagi menjadi kes terpencil dan turut menjelaskan bahawa kes yang seumpamanya sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Johor Baru malah sudah ada satu kes yang telah dimenangi peneroka iaitu di Felda Kemahang Tiga Kelantan yang mana felda telah diarah membayar 11 juta kepada yang terbabit.

Tiada ulasan: