Ahad, 15 Ogos 2010

Pendakwaan Terhadap Anwar Salah, Hakim Didesak Gugur Kes Serta Merta

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM - Hakim perlu mengunakan budi bicaranya untuk mempertimbangkan keraguan yang munasabah (benefit of doubt) di dalam perbicaraan Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengugurkan kes ini dengan serta merta.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata ini berikutan keengganan pendakwa raya menjelaskan hubungan di antara pengadu dan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan Timbalan Pendakwa Paya, Farah Azlina Latif.

Kegagalan ini kata beliau menyebabkan kes tersebut menjurus kepada pendakwaan yang salah atau 'mistrial'.

"Apa yang berlaku di tahap ini bukan lagi ketidakaturan dari segi pendakwaan dan sebagainya. Sebelum ini kita berkata mengenai fitnah dan sebagainya. Melihat kepada perkembangan terbaru di dalam kes apabila pendakwa raya enggan menjelaskan mengenai hubungan di antara Saiful dan Farah, bagi saya itu merupakan satu perkara yang amat asas atau 'fundamental' dalam pendakwaan dan mengakibatkan 'mistrial'," tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau lagi, apabila kes sebegini mencapai tahap pendakwaan yang salah, keadilan tidak mungkin akan tercapai walaupun prosiding kes berlangsung sehingga penghujung.

Ini kerana pendakwaan ke atas Anwar telah dimulakan dengan satu kerosakan kepada proses keadilan itu sendiri kata Yusmadi.

"Dakwaan ke atas Anwar tidak kukuh sejak bermulanya kes ini, ia boleh diibaratkan seolah-olah 'pokok' itu rosak daripada pangkalnya. Maka, apabila melihat kepada perjalanan kes, ianya amat jelas bahawa bahan bukti dan 'rule of the game' juga telah dicabuli.

"Kesimpulan yang boleh saya katakan ialah ini adalah 'mistrial' dan apabila 'mistrial' berlaku, kes itu perlu digugurkan ataupun lebih mudah lagi pihak pendakwa raya perlu menarik balik kes tersebut," jelas Yusmadi yang juga merupakan seorang peguam.

Kata beliau, dakwaan terbaru oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai hubungan sejenis Saiful dengan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Prof Datuk Khairil Annas Jusoh, menguatkan lagi kepincangan kes ini Khairil terbabit dalam perbicaraan yang sedang berjalan.

"Saya merasakan perkara tersebut perlu dijelaskan kerana ia membawa akibat langsung ke atas kertas pendakwaan dan bukti-bukti yang dikemukakan, maka hakim perlu menilai semula sama ada kes ini patut diteruskan oleh pendakwa raya menggunakan bukti-bukti yang kita katakan sudah tercemar atau 'tainted evidence'," tegas beliau.

Selanjutnya Yusmadi menjelaskan, pendedahan hubungan Saiful-Khairil akan mengguatkan lagi asas pendakwaan salah.

Hakim disarankan menggunakan budi bicaranya untuk menilai dan membuang kes Fitnah II.

"Dan apabila berlakunya keadaan sebegini, Anwar berhak menuntut gantirugi yang sewajarnya dari segi kerosakan reputasi dan maruah diri, keluarga dan kerjaya beliau," kata Yusmadi lagi.

Kata beliau walaupun perbicaraan masih dalam peringkat pendakwaan tetapi hakim melalui budi bicaranya boleh mengugurkan kes tersebut sekiranya mendapati kepincangan dalam pendakwaan dan keseluruhan kes.

"Jika kes ini diteruskan juga sehingga akhir, tidak mungkin keadilan dapat dicapai kerana imej pendakwaraya tercemar, bukti tercemar dan apatah lagi dalam kes ini, asas pembelaan adalah konspirasi dan ini menguatkan lagi pembelaan bagi Anwar.

"Maka dalam kes ini hakim perlu menggunakan budi bicara, di bawah asas 'benefit of doubt' dan apabila mentafsirkan kes ini, faktanya harus memihak kepada Anwar," jelas beliau lagi.

Tambah Yusmadi lagi, terdapat 'maxim' atau pepatah perundangan yang menyatakan adalah lebih baik melepaskan orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah.

"Dalam hal ini, pada pendapat saya hakim perlu menggunakan pendekatan ini kerana jelas di dalam perbicaraan kali ini, ketiadaan bukti kukuh, pendakwaan yang bercelaru dan bukti yang dikemukakan juga tercemar. Mempertimbangkan situasi ini, hakim perlu mengugurkan kes ini," tegas beliau.

Perbicaraan bersambung esok dengan hakim memutuskan permohonan pasukan pembelaan untuk menggugurkan kes.

Tiada ulasan: