Ahad, 8 Ogos 2010

Pemuda buat aduan dakwa mesyuarat Umno Bukit Bendera tak sah


GEORGE TOWN — Ketua Penerangan Pemuda Umno Bukit Bendera Rose Akmar Ahmed membuat laporan polis mendakwa persidangan perwakilan bahagian itu tidak sah, tetapi pemimpinnya menolak dakwaan itu.

Bukit Bendera akhirnya mengadakan persidangan perwakilan hari ini selepas tertangguh dua kali bulan lalu.

Ia bahagian pertama mengadakan pemilihan mengikut sistem baru selepas pindaan perlembagaan Umno tahun lalu.

Rose membuat laporan di balai polis Butterworth mendakwa beberapa cawangan tidak menerima notis rasmi persidangan perwakilan bahagian itu yang diadakan hari ini.

Pengerusi jawatankuasa penaja Kampung Mutiara itu berkata, notis sedemikian seharusnya dikeluarkan 14 hari sebelum persidangan perwakilan.

Rose juga merupakan salah seorang daripada empat wakil bahagian itu yang membuat laporan polis pada 9 Julai lalu mendakwa mereka tidak menerima notis persidangan perwakilan.

Dalam respons segera, Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Syed Fadhil menyangkal dakwaan Rose.

Pada sidang media di Hotel Eastin di sini, Musa berkata notis telah dihantar kepada kesemua cawangan sebelum pertemuan hari ini.

Musa berkata beliau tidak menerima surat daripada mana-mana pihak yang membantah persidangan hari ini.

“Mereka yang tidak berpuas hati seharusnya menghantar surat aduan kepada kami.

“Tanpa surat saya tidak boleh membuat apa-apa. Pada saya persidangan ini diadakan mengikut peraturan perjalanan mesyuarat,” katanya lagi.

“Tidak masuk akal hanya seorang yang membuat aduan, adalah munasabah jika 50 peratus perwakilan mengadu mengenai prosedur ini,” katanya.

Musa menjelaskan, hanya perwakilan dari cawangan Bukit Mewah dan Kampung Mutiara tidak hadir kerana mereka “ada perkara lain untuk lakukan.”

Tiada ulasan: