Ahad, 15 Ogos 2010

Pemilihan PKR: Kenduri, majlis buka puasa tak salah

Abdul Rahim Sabri

Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah hari ini menjelaskan "kekeliruan dan salah tafsiran" yang timbul di kalangan ahli parti berhubung larangan menjadi tuan rumah sewaktu mengadakan kenduri atau majlis berbuka puasa seperti yang terkandung dalam kod tatacara parti.

Katanya, ahlinya yang ingin bertanding dan menganjurkan majlis seumpama itu tidak melakukan kesalahan sekiranya mereka tidak menggunakannya untuk berkempen menjelang pemilihan parti yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

"Apa yang jelas dalam kod tatacara ini ialah seorang calon (yang bertanding) dalam pemilihan parti tidak boleh menganjurkan kenduri untuk tujuan berkempen. Dalam kenduri atau majlis berbuka puasa itu digunakan untuk ucapan berkempen.

"Pentas itu digunakan untuk berkempen. Jadi tidak salah anggota parti menganjur majlis berbuka puasa atau kenduri untuk tujuan sosial.

"Tapi majlis itu tidak boleh digunakan untuk kempen terbuka," katanya yang juga ahli panel yang terlibat secara langsung dengan penggubalan kod tersebut.

Beliau memberi contoh larangan seperti situasi berkempen pada pilihan raya di Sibu dengan menjemput orang ramai menjamu selera di atas pentas sambil mengucapkan "mengundi kita".

"(Kempen macam ) itu memang tidak boleh dilakukan. Itu maksud kita (parti)," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu petang ini.

Menurutnya, kod tatacara merangkumi berkaitan pemilihan, tingkah laku anggota dan pemimpin parti supaya menjadikan ahli lebih berdisplin terutama menjelang pemilihan parti yang bakal berlangsung beberapa minggu lagi.

PKR bakal mengadakan pemilihan parti secara langsung bermula dengan proses pencalonan di peringkat cabang (bahagian) lewat bulan ini, sebelum mengundi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti itu pada November depan.

Tiada ulasan: