Jumaat, 6 Ogos 2010

Pemilihan Makkal Sakti Oktober ini

BERNAMA


Parti Makkal Sakti Malaysia bercadang mengadakan pemilihan untuk mengatasi kemelut kepimpinan parti itu Oktober ini, kata setiausaha agungnya Kannan Ramasamy.

Beliau berkata pemilihan ini perlu untuk meredakan kemelut itu dan mencegah parti tersebut daripada kehilangan sokongan daripada rakyat jika tidak ada kompromi dicapai antara kedua-dua puak berkenaan.

"Pemilihan boleh menangani keseluruhan isu ini. Saya percaya siapa sahaja yang menang atau kalah akan muncul dengan bermaruah. Tidak ada apa yang dimalukan jika mereka gagal dalam pemilihan ini kerana mereka telah memenuhi tanggungjawab kepada parti mengikut perlembagaan untuk berpegang kepada prinsip demokrasi," katanya kepada Bernama.

Parti Makkal Sakti telah dilanda konflik dalaman sejak akhir tahun lalu, yang menyaksikan puak yang berpihak kepada presiden RS Thanenthiran dan yang satu lagi timbalan presiden A Vathemurthy, dan menyingkirkan antara satu sama lain dan membawa permasalahan mereka kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Penubuhan parti itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Okt lalu dan dilihat sebagai pemangkin untuk memenangi semula sokongan masyarakat India yang telah menurun kepada BN.

Kannan mendakwa keputusan untuk mengadakan pemilihan parti dipersetujui oleh 18 daripada 26 anggota jawatankuasa pusat pada mesyuarat yang diadakan 11 Julai lalu.

Pada mesyuarat itu, beliau berkata 18 anggota jawatankuasa pusat itu juga telah meluluskan agar perbincangan perpaduan di kalangan dua puak yang bertelagah itu diadakan.

"Anggota-anggota itu mahukan perdamaian bagi kepentingan perpaduan parti dan mahukan agar kedua-dua puak itu yang diketuai oleh pengasas, presiden dan timbalan presiden untuk duduk berunding bagi menangani kemelut itu.

"Perbincangan perpaduan sangat penting untuk manfaat parti tersebut dan masyarakat India. Sebagai setiausaha agung, saya telah dilantik oleh anggota majlis pusat untuk mendapatkan kedua-dua pihak berunding," katanya sambil menambah beliau akan mengumumkan sedikit berita baik dalam masa sebulan berkaitan perkembangan perbincangan perpaduan itu.

"Ramai kaum India bersetuju menyertai parti itu hanya jika ia mempunyai pemimpin yang kredibel yang boleh melakar masa depan parti itu," kata beliau sambil menambah bahawa Makkal Sakti kini mempunyai kira-kira 20,000 anggota.


Tiada ulasan: