Rabu, 11 Ogos 2010

Pembohong Adalah Ganti Nama Bangsa Malaysia 2020?

SUARA KEADILAN

Malaysia bercita-cita menjadi Negara Maju menjelang tahun 2020 dengan jati dirinya sendiri. Lantas, kata pengasas wawasan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, identiti Malaysia sebagai negara dan bangsa yang maju itu mestilah dibina menurut acuannya sendiri.

Mungkin atas pertimbangan melakarkan acuannya sendiri itulah maka Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan idea 1Malaysia.

Di satu segi, idea Najib ini memanglah sesuatu yang wajar kerana bagaimana hendak mencanaikan satu acuan jika rakyat Malaysia ‘tidur sebantal tetapi mimpi asing-asing’?

Sebab itulah kita percaya tidak ramai rakyat hari ini yang mahu membuang masa menyanggah idea atau konsep 1Malaysia ini. Tidak kiralah siapa yang memperkenalkannya, idea itu adalah sesuatu yang universal dan terlalu umum.

Apa yang penting bagi kita ialah soal penghayatan atau lebih tepat lagi cara pengisian konsep 1Malaysia itu sendiri. Persoalan di mana uniknya idealisme, kaedah sejarah, budaya dan cara anutan hakikat silang agama di negara ini dan yang mungkin membentuk satu acuan unik, lantas boleh membangun satu Bangsa Malaysia yang benar-benar berbeza tetapi boleh berbangga dengan jati dirinya di samping bangsa lain di dunia 2020 adalah lebih penting!

Namun satu perkara yang cukup jelas, konsep serta sistem pendidikan yang unik, yang diharapkan bagi membentur ke arah jati diri unik ini masih belum terungkai dengan nyata bagi setiap warga yang berbilang dan bersilang budaya dan agama.

Malah, kecacatan paling ketara daripada sistem sosial dan ekonomi di negara ini sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara tahun lepas ialah, persoalan apakah nilai yang hendak ditanam dalam jiwa rakyat Malaysia 2020 nanti?

Yang dapat kita lihat ialah, nilai paling gemerlapan yang ditanamkan oleh rejim Najib ialah kepura-puraan dan sikap kurang jujur.

Banyak peristiwa berhubung ciri pemerintahan dan urus tadbir kerajaan Najib ini boleh diketengahkan sebagai dalil bahawa di segi pengisian Wawasan 2020 ini, ia jauh terpesong dari landasan atau idealisme mewujudkan satu bangsa yang mempunyai jati diri luhur dan unik.

Ambil sahaja janji keramat ketika bercakap kepada Malaysia melalui media arus perdana yang cukup ghairah menyambut penobatannya sebagai Perdana Menteri, April tahun lalu. Ketika itu Najib berjanji bahawa, ‘rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’.

Namun dalam menyusun semula sistem ekonomi negara yang dikatakan lelah dek mekanisme pemberian subsidi, perkara yang didahulukan oleh rejim Najib ialah, rakyat perlu menggalas kos hidup yang lebih tinggi dengan kenaikan harga barangan keperluan lima serangkai termasuk gula, petrol, gas masak, yang dianggarkan RM750 juta setahun.

Bagaimanapun pencapaian loji janakuasa swasta yang mendapat subsidi daripada kerajaan berjumlah hampir RM19 bilion setahun langsung tidak disentuh!

Mengapa kepincangan pertimbangan ini berlaku, rakyat keseluruhannya tahu – kronisme!

Jika hakikat ini tidak memadai untuk menandai nilai sebenar rejim Najib ini, kita renung sahaja apa yang berlaku kepada sistem pentadbiran negara, pengurusan keadilan dan keherotan proses perundangan serta mahkamah.

Kini pegawai kerajaan yang selama ini diajar untuk bersikap takzim apabila berurusan dengan pihak eksekutif, digalakkan supaya ‘menderhaka’ oleh Kerajaan Pusat. Kes Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berantakan dengan Pegawai Pembangunan Negeri, wajarlah diambil maklum mengenai sikap sebenar rejim Najib.

Amat tidak sukar dibayangkan jika ada pegawai kanan kerajaan yang menunjukkan sikap yang sama seperti yang dipamerkan oleh pegawai berkenaan diajukan terhadap mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri Umno-BN. Kita pasti dalam keadaan itu, tidak panjang hayat perkhidmatan pegawai berkenaan.

Namun yang paling mencemaskan apabila merenung cara Najib mempersiapkan acuan Malaysia untuk menjadi sebuah Negara-Bangsa yang mempunyai jati diri sendiri ialah nilai tidak bercakap benar.

Menjelang pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 baru-baru ini, Najib dan konco-konconya dalam kerajaan berusaha menanamkan keyakinan di kalangan rakyat bahawa ekonomi negara kini bertambah kukuh dan pelaburan terus asing semakin meningkat.

Malangnya, realitinya tidak demikian. Laporan antarabangsa jelas menunjukkan pelaburan ini merudum 81 peratus tahun lalu.

Kini kita tidak dapat mengelak daripada bertanya, mengapa kerajaan Najib sukar bercakap benar? Adakah ini citra dan jati diri bangsa Malaysia sembilan tahun lagi? Sesungguhnya gambaran ini amat jelik.

Sesuatu perlu dilakukan sebelum perspektif buruk ini menjadi kenyataan dan darah daging pekerti bangsa Malaysia 2020.

Tiada ulasan: