Selasa, 17 Ogos 2010

Pecah amanah: Ketua Pengarah Tourism Malaysia, bekas CEO Pempena didakwa

TERKINI


Mirza Mohammad Taiyab ketika hadir di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur petang tadi. - Gambar oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab yang tahun lalu bebas daripada tuduhan rasuah, hari ini didakwa melakukan kesalahan jenayah pecah amanah melibatkan RM888,000.

Mirza dituduh bersama bekas ketua pegawai eksekutif Pempena Sdn Bhd Mohammad Rosly Selamat.

Kedua-dua mereka tidak mengaku salah dan minta dibicarakan ketika kes dibawa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azizah Mahmud.

Pagi tadi, Rosly juga dihadapkan di Mahkamah Sesyen berhubung tuduhan jenayah pecah amanah.

Dia bersama bekas ketua pengawal kewangan Pempena Lim Khing Tai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan RM169,770, empat tahun lalu.

Rosly, 56, didakwa melakukan kesalahan iaitu dengan curangnya menggunakan wang yang diamanahkan kepadanya untuk membayar kepada Ummi Hafilda li melalui empat keping cek Bumiputra Commerce Berhad.

Pempena adalah Pembangunan Pelancongan Nasional Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada Tourism Malaysia.

Hari ini, Mirza diwakili oleh Shasi Menon manakala peguam bela Rejinder Singh Dhaliwal mewakili Rosly.

Mirza dan Rosly dituduh meluluskan bayaran pembinaan Restaurant Malaysia Dubai di Dubai meskipun syarat-syaratnya tidak dipenuhi.

Mereka didakwa memasukkan duit ke dalam akaun LCL Interior LCL Dubai pada 27 Februari 2007.

Kedua-dua dibebaskan dengan diikat jamin RM30,000 ke atas Mirza dan RM50,000 terhadap Rosly.

Kes itu akan disebut semula 6 September ini.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Mirza daripada tuduhan rasuah pada 21 Mei lalu.

Pada 24 Julai 2009, Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Abidin Kamaruddin melepas dan membebaskan Mirza daripada tuduhan bersetuju menerima rawatan pergigian bernilai RM13,860 lima tahun lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mirza didakwa bersetuju menerima tanpa balasan, rawatan pergigian itu yang bayarannya dijelaskan oleh pengarah Syarikat Perunding Pakar Media Zulhisyam Ayob, walaupun mengetahui bahawa syarikat itu mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan ketika itu.

Tiada ulasan: