Selasa, 17 Ogos 2010

PAS dakwa SPRM bocor maklumat, jejas siasatan kerugian MAS RM8b



Salahuddin: Mungkin ada pihak tertentu yang melindunginya kerana sehingga kini beliau tidak lagi didakwa atas dakwaan penyelewengan tersebut.
KUALA LUMPUR — PAS mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjejaskan siasatan berhubung kerugian dialami MAS membabitkan RM8 bilion lapan tahun lalu dengan mendedahkan maklumat sulit kepada polis.

Pendedahan maklumat sulit itu kepada polis menyebabkan bekas Pengerusi MAS Tan Sri Tajuddin Ramli yang dilaporkan bertanggungjawab atas kerugian tersebut, sehingga kini masih tidak didakwa.

“SPRM telah mendedahkan dokumen butiran yang diberikan oleh MAS kepada PDRM untuk membantu Tajuddin Ramli supaya beliau tidak akan disiasat,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini.

Kata beliau, mengikut dokumen ini MAS merasakan tindakan pendedahan yang dilakukan oleh SPRM kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM menunjukkan kerjasama mereka untuk menutup elemen penyelewengan kerugian dialami MAS.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Salahuddin mempersoalkan tindakan SPRM mendedahkan maklumat tersebut kepada PDRM sambil menyifatkan ia bertentangan dengan Akta SPRM.

“MAS telah membuat aduan kepada SPRM mengenai penyelewengan yang berlaku tetapi yang menjadi persoalannya mengapa SPRM tidak menyiasat perkara ini.

“Sepatutnya SPRM menyiasat perkara ini bukan mendedahkan kepada PDRM dan tindakan ini menyebabkan individu yang terlibat dalam kes ini cemas,” katanya.

Salahuddin yang juga anggota jawatankuasa khas mengenai rasuah yang dianggotai Ahli Parlimen dan Senat, yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, beliau akan menghubungi pengerusinya agar memanggil mesyuarat segera.

“Saya juga akan meminta SPRM agar mengambil tindakan segera,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, seolah-olah ada dalang yang melindungi Tajudin dan pegawainya yang terlibat dalam konspirasi tersebut.

“Saya percaya bahawa beliau (Tajuddin) tidak seorang diri dalam perkara ini, mungkin ada pihak tertentu yang melindunginya kerana sehingga kini beliau tidak lagi didakwa atas dakwaan penyelewengan tersebut,” katanya.

Beliau berkata dokumen yang diterima, yang diserahkan oleh firma guaman mewakili MAS kepada SPRM kerana ingin mengetahui bagaimana suruhanjaya itu boleh mendedahkan maklumat itu kepada PDRM.

“Pihak MAS sendiri meragui tindakan SPRM yang jelas gagal melindungi dokumen penting untuk dirahsiakan dalam melakukan siasatan.

“Jadi SPRM perlu segera menjawab mengenai pendedahan maklumat itu supaya dapat membuktikan SPRM melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ketelusan.

“Ini kerana kerugian MAS ini adalah kerugian besar dan sama dengan kerugian dalam PKFZ,” katanya.

Justeru Salahuddin juga mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dalam hal tersebut.

“Bagi membuktikan ketelusan dalam perkara ini Perdana Menteri perlu campur tangan untuk membawa individu terlibat ke muka keadilan,” katanya.

Salahuddin berkata sebelum ini, beliau telah membawa isu kerugian MAS kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat kerugian tersebut tetapi tiada sebarang jawapan sehingga sekarang ini.

Salahuddin berkata, beliau telah menyerahkan surat mengenai penyelewengan MAS itu kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid di Parlimen pada 2009.

“Timbul kemusykilan mengenai kemungkinan MAS ditipu atau diperdayakan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion dari tahun 1994 hingga 2001.

“Saya mendapati ada beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan penyiasatan yang lebih mendalam terhadap perkara ini tetapi pihak PAC hanya mendiamkan diri,” katanya.

“Jika dokumen itu benar, mengapa daripada Mac 2007 hingga sekarang mereka yang dituduh pecah amanah itu tidak dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya.

Difahamkan pengurusan MAS telah membuat dua laporan polis tentang penyiasatan PDRM di ibu pejabat polis Daerah Dang Wangi, yang laporannya bernombor 347/02 pada 4 Januari 2002 dan 12532/05 pada 4 Mei 2005.

MAS mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion ketika diterajui Tajuddin antara 1994 hingga 2001.

Tiada ulasan: