Sabtu, 7 Ogos 2010

PAC Desak SPRM Siasat Pembelian 38 Unit EMU 6 Gerabak KTMB

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat urusan pembelian 38 unit Electrical Multiple Unit (EMU) 6 gerabak oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bernilai RM1.89 bilion, satu jumlah yang jauh lebih tinggi daripada harga asal RM500 juta.

Mesyuarat PAC pada 27 Julai lalu yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azmi Khalid mendapati pembelian 38 EMU 6 gerabak itu wajar disiasat oleh SPRM atas dakwaan pembelian gerabak EMU itu melebihi harga asal tender.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan beliau telah menerima salinan surat yang dihantar oleh PAC kepada SPRM selepas mesyuarat tersebut.

"Saya diberitahu oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam yan dipengerusikan oleh Datuk Seri Azmi Khalid melalui salinan surat yang mereka hantar ke Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa mereka telah bermesyuarat bagi membincangkan laporan tentang pembelian 38 EMU 6 gerabak, yang mana aduan telah saya berikan kepada mereka sebelum ini.

"Setelah meneliti laporan tersebut merekamendapati isu ini wajar disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan saya bahawa pembelian 38 gerabak EMU tersebut akan membabitkan kerajaan mengalami pembayaran perolehan yang terlebih daripada harga asal tender 'Tender KTMB/TC11/2008' sebanyak RM500 juta.

"Sebelum ini Reuters pada 23 Julai tahun lalu melaporkan Kementerian Pengangkutan telah memeterai perjanjian untuk memperoleh 38 EMU 6 gerabak daripada South Locomotive yang dimiliki oleh Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd dari China dengan harga RM1.89 bilion.

"Perkembangan itu amat mengecewakan rakyat kerana kementerian tahu terdapat penentangan dari Ahli Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat. Selain itu rakyat hairan mengapa kerajaan terlalu tergesa-gesa sangat untuk memeterai perjanjian pembelian seolah-olah akan menggunakan keretapi EMU itu dalam waktu segera," jelas Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly juga menjelaskan isu tersebut telah dibincangkan pada sesi perbahasan penggulungan Kementerian Pengangkutan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Rakyat.

"Saya telah membangkitkan isu perolehan 38 EMU 6 gerabak dengan mempertikaikan mengapa kerajaan sanggup membayar dengan harga yang jauh lebih mahal daripada harga asal tender terbuka.

"Amat pelik dan membingungkan bagaimana harga asal lapan EMU 3 gerabak dari pembekal yang sama melalui tender terbuka melonjak daripada harga RM14 juta seunit kepada RM48 juta seunit ketika Kementerian Pengangkutan membuat perolehan langsung dari pembekal yang sama setelah tender asal dibatalkan pada April 2010.

"Meneliti secara terperinci akan perbezaan spesifikasi kedua-dua tender terbuka dan rundingan langsung tidak mendapati perbezaan yang ketara tetapi mengapa kos melonjak secara mendadak kecuali keperluan 'CCTV' dan 'Slide Presentation Panel'. Kedua-dua perbezaan ini dalam pembelian EMU 6 gerabak itu tentunya tidak akan melibatkan peningkatan kos harga yang terlalu tinggi.

"Membandingkan harga satu set unit EMU 6 gerabak berasaskan harga satu EMU 3 gerabak yang ditawarkan oleh Zhuzhou melalui tender KTMB 2008 iaitu Euro2,745,000 bersamaan RM13.725 juta (berdasarkan kadar pertukaran wang asing pada Julai 2008). Harga yang ditawarkan Zhuzhou ini adalah sah sepanjang tempoh sah laku tender (sebelum ianya dibatalkan) sehingga 26 Mei 2010.

"Oleh itu, mengandaikan harga satu set EMU 6 gerabak berasaskan harga dua set EMU 6 gerabak berasaskan harga dua set EMU 3 gerabak iaitu RM27.45 juta," kata beliau.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi kos seperti kadar inflasi, kadar pertukaran wang asing, peningkatan kos bahan mentah, kos modal dan sebagainya.

"Para analisis mengandaikan kos satu set EMU 6 gerabak bernilai RM35 juta adalah satu anggaran harga yang amat tinggi. Persoalannya mengapakah harga yang ditawarkan Zhuzhou melalui proses runding terus iaitu RM48 juta bagi satu set 6 gerabak jauh lebih mahal daripada harga yang sepatutnya iaitu RM35 juta.

"Selain itu juga perolehan tersebut tidak dibuat bersekali dengan pakej 'Maintenance, Repair dan Overhaul' (MRO). Pengalaman lama membeli 20 GE Blue Tiger (Enjin Diesel) dengan mengikat pakej MRO berkesudahan dengan KTMB menanggung kos penyelenggaran yang dikenakan oleh General Electric sangat mahal.

"Seandainya Kementerian Pengangkutan teruskan juga pembelian ini, rakyat dan pembayar cukai bakal mengalami pertambahan harga ke paras RM494 juta dalam keadaan negara tidak mampu untuk berbelanja besar kerana bebanan hutang awam yang terus meningkat ke paras 25 peratus," kata beliau lagi.

Beliau menyokong tindakan PAC yang menyarankan SPRM segera bertindak menyiasat laporan yang telah diberikan dan rakyat akan menunggu serta melihat berapa lama SPRM perlu bertindak.

"Rakyat menunggu tindakan SPRM terhadap aduan yang telah diberikan dan kita mahu melihat siapa yang sebenarnya SPRM mahu lindungi rakyat atau segelintir golongan elit dari kerajaan," jelasnya lagi.

Tiada ulasan: