Ahad, 15 Ogos 2010

Orang ramai digesa derma darah pastikan bekalan cukup pada musim perayaan

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Kementerian Kesihatan meminta orang ramai terus menderma darah bagi memastikan bekalan di Pusat Darah Negara (PDN) sentiasa mencukupi terutamanya sepanjang musim perayaan ini.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata walaupun terdapat peningkatan penderma darah setiap tahun, kementerian berharap bilangan itu terus bertambah kerana keperluan darah adalah sentiasa kritikal.

Beliau berkata sejumlah 565,604 unit darah didermakan di PDN dan tabung-tabung darah di seluruh negara sepanjang tahun lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 73 peratus atau 413,046 orang adalah daripada penderma ulangan manakala baki sebanyak 152,568 orang adalah penderma baru.

“Sepanjang tahun lepas, kita menyediakan 1,326,456 komponen darah di mana 744,566 unit digunakan untuk kegunaan pesakit, manakala selebihnya dihantar ke Australia,” katanya semasa berucap merasmikan kempen menderma darah anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Selayang di Capital Square di sini, hari ini.

Komponen darah yang dihantar ke Australia melalui proses fraksinasi bagi mendapatkan produk-produk darah seperti Faktor VII, Faktor IX, immunoglobulin dan albumin bagi merawat pelbagai penyakit seperti Haemofilia dan lain-lain penyakit berkaitan, katanya.

Liow berkata walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah penderma darah, masih ramai rakyat yang belum menjadikan perdermaan darah sebagai cara hidup mereka.

“Amalan menderma darah bukan sahaja dapat dimanfaat oleh masyarakat, malah penderma sendiri berpeluang mendapat maklumat tentang amalan hidup sihat untuk menjamin kebersihan darah serta status kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat menerap amalan pendermaan darah sebagai cara hidup sihat dan memberi jaminan proses pendermaan darah dilakukan dengan tahap kebersihan dan keselamatan tinggi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan mereka mengamal cara hidup sihat sebelum mendaftar sebagai penderma darah untuk mengelak darah tercemar dengan penyakit seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan sifilis.

Dalam perkembangan yang lain, Liow memberitahu bahawa angka kematian akibat wabak denggi untuk tempoh Januari sehingga 14 Ogos meningkat 28 kes kepada 95 kematian, berbanding 67 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Jumlah kes juga meningkat 5.9 peratus kepada 30,350 kes dalam tempoh itu berbanding 28,569 pada tahun lepas.

“Kita memandang berat perkara ini kerana bagi minggu ke-32 tahun ini, 847 kes denggi dicatatkan termasuk satu kematian terbaru di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).

“Dalam usaha menangani perkara ini, kementerian dan pengarah kesihatan negeri dan pakar-pakar denggi berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.

Tiada ulasan: