Ahad, 8 Ogos 2010

Noh Kehilangan Dua Penyokong Kuat, Khir Mengintai Untuk Serang

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM - Umno Bahagian Tanjung Karang yang diterajui oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dijangka bertambah lemah berikutan kematian mengejut dan misteri dua penyokong kuatnya.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor kehilangan orang kanannya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Aziz Mohd Noh dan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat.

Aziz adalah juga bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abu Hassan Omar, bekas Menteri Besar Selangor.

Kedua-dua mereka ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala kira-kira pukul 11 pagi di KM 455.7 Lebuh Raya Lembah Klang Utara berdekatan Sg Buloh Selasa lalu, dipercayai mangsa bunuh dan bunuh diri.

Setiausaha Cabang KEADILAN Tanjung Karang, Yahya Sahri berkata Noh yang banyak bergantung kekuatan politiknya di Tanjung Karang dan juga Selangor akan lebih terdedah kepada serangan politik untuk menjatuhkan beliau daripada kem seteru yang diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo.

"Secara peribadi, saya memang kenal dengan Allahyarham dan Allahyarhamah, kerana kami berasal dari daerah yang sama. Saya turut mengucapkan takziah kepada keluarga keduanya. Kita juga berharap agar pihak polis dapat menyelesaikan siasatan berkaitan kejadian ini bagi merungkai persoalan yang hangat diperkatakan.

"Dari segi politik, mungkin dia tak mainkan peranan yang besar. Tetapi sebagai orang kuat bekas Menteri Besar Selangor, sudah tentu beliau mempunyai jaringan yang besar, terutama apabila bekas majikannya, Tan Sri Abu Hassan Omar pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," jelas Yahya.

Pada pandangan beliau, Umno Selangor sehingga kini masih belum lagi memberikan sebarang penjelasan atau kenyataan yang menimpa dua tokoh penting mereka.

Bahkan menurut Yahya, media hanya melaporkan komen Noh Omar.

Kumpulan Noh dan Dr Khir dikatakan sedang secara agresif dalam usaha untuk merebut jawatan Menteri Besar Selangor, sekiranya Barisan Nasional berjaya menawan kembali Selangor.

Selain mereka, Senator Ezam Mohamad Nor muncul sebagai watak baru dalam percaturan politik umno Selangor.

"Ketika saya menziarahi keluarga Allahyarham di Hospital Sungai Buloh, tidak ramai penyokong Umno daripada bahagian Kuala Selangor yang hadir. Apabila ditanya ke mana penyokong yang lain, semuanya mendiamkan diri, seolah cuba sembunyikan sesuatu," kata Yahya.

Yahya turut mempersoalkan tindakan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dilihat cuba menimbulkan persepsi terhadap kedua mangsa.

Kenyataan Khalid didakwa melangkaui siasatan yang dilihat cenderung untuk menimbulkan perasaan kurang senang dan pertanyaan di kalangan orang ramai.

"Saya menggesa keluarga kedua mangsa soal pihak Datuk Khalid tentang kenyataannya itu yang boleh mencemar nama baik mangsa dan keluarga mereka. Sepatutnya beliau selesaikan dahulu siasatan kejadian bukan membuat andaian," kata Yahya lagi.

Tiada ulasan: