Khamis, 19 Ogos 2010

NGO Perlis kecam tulisan Nakhaie tentang Wahabi

BERNAMA


Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perlis hari ini membantah penyiaran sebuah artikel bertajuk "Penyelewengan Wahabi" yang turut dikaitkan dengan pegangan agama di negeri itu.

Persatuan Al Islah Negeri Perlis, Persatuan Melayu Negeri Perils (Pemanis), Pertubuhan Kebajikan al Qalam Perlis, Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia cawangan Perlis dan Persatuan Baiturahim Perlis, berkata Perlis tetap mengamalkan Sunnah Wal Jamaah sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Yang Dipertua Persatuan Al Islah Negeri Perlis, Datuk Ahmad Jusoh Amin berkata, artikel itu yang ditulis oleh Datuk Mohd Nakhaie Ahmad (kiri) dalam majalah Milenia Muslim keluaran Ogos 2010, seolah-olah merupakan satu hasutan terhadap Perlis.

Katanya ayat yang ditulis dalam artikel itu ialah "Tindakan negeri Perlis keluar daripada Jemaah dan mengambil jalan sendiri, kononnya
mengembangkan Islam tanpa mazhab adalah salah dan mesti ditentang," adalah keterlaluan.

Pertubuhan-pertubuhan itu mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghentikan segera perbincangan bersabit isu Wahabi yang mengaitkannya dengan negeri Perlis dan memohon Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendesak penulis dan penerbit majalah Milenia Muslim menarik balik tuduhan dan memohon maaf secara terbuka.

"Sekiranya mereka engkar, kerajaan negeri mesti mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis dan penerbit majalah itu," kata Ahmad Jusoh.

Tiada ulasan: