Ahad, 29 Ogos 2010

Najib nafi Malaysia berlembut dengan Indonesia

BERNAMA

PEKAN — Malaysia tidak pernah berlembut dalam menangani isu yang dilihat mencemarkan kedaulatan negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas kejadian demonstrasi terhadap Malaysia di Jakarta ketika ini, Perdana Menteri berkata Malaysia mahu Indonesia segera mengambil langkah-langkah perlu dalam menangani isu berkenaan.

“Sekarang ini, yang penting ialah tindakan pihak berkuasa Indonesia untuk tidak membiarkan perkara ini berlarutan terutama sekali (tindakan terhadap) mereka yang melakukan demostrasi, kawalan kedutaan (Malaysia) dan apa-apa tindakan lain yang perlu diambil pihak Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok dan Tanam Semula komersial Risda 2010 di sini hari ini.

Khamis lepas, kira-kira 600 penunjuk perasaan bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang dan berteriak “ganyang Malaysia” bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata beliau telah menerima sepucuk surat daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berhubung insiden yang sedang berlaku itu.

“Presiden SBY telah mengutus surat kepada saya, tapi surat itu ada di Putrajaya. Saya belum tengok lagi apa isi kandungan itu, tapi saya percaya ia melahirkan rasa dukacita pihak Indonesia terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Najib (gambar) berkata apa yang penting kini ialah perkara berkenaan tidak dibiarkan berlarutan oleh pemerintah Indonesia dan merosakkan hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia.

Katanya hubungan ini saling menguntungkan dan pihak Indonesia pun faham bahawa mereka mempunyai dua juta pekerja di Malaysia dan banyak pelaburan Malaysia di Indonesia yang memberi faedah kepada perkembangan ekonomi mereka.

“Oleh itu kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dan tidak membiar perkara ini menjadi sesuatu yang boleh mengancam hubungan dua hala kita,” kata Najib.

Ditanya tindakan media Indonesia yang sering memperbesarkan isu berkaitan soal pekerja mereka di Malaysia, Najib berkata pihak berkuasa Malaysia sentiasa menangani isu yang timbul itu mengikut lunas undang-undang negara.

“Memang akan timbul isu-isu kecil, isu itu bersifat hubungan antara rakyat dengan rakyat. Misalnya dalam banyak majikan, mungkin ada satu dua majikan yang mengasari rakyat Indonesia.

“Kita tidak boleh menjamin segala-galanya tidak akan berlaku, tetapi terserahlah kepada pihak kita untuk ambil tindakan, dan kita telah pun ambil tindakan mengikut lunas undang-undang negara.

“Kita tidak boleh kata bahawa disebabkan satu majikan yang di luar kawalan kerajaan Malaysia, maka mereka patut bertindak balas di Indonesia,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta rakyat di negara ini bertenang.

“Kita boleh jamin bahawa kita akan kawal keadaan di Malaysia, tapi kalau (keadaan di Indonesia) keterlaluan sangat ia akan jadi sesuatu yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia... kalau berterusan ia akan mengundang reaksi daripada rakyat (Malaysia),” katanya.

Tiada ulasan: