Sabtu, 7 Ogos 2010

Naib Canselor nafi kakitangan Unisel diberhentikan

SELANGOR KINI

BESTARI JAYA – Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), Datuk Dr Rosti Sarowono menafikan pihaknya melakukan pemberhentian kakitangan sokongan secara besar-besaran setelah beberapa pengawal keselamatan universiti terbabit ditamatkan kontrak baru-baru ini.

Beliau yang ditemui pada Seminar Keusahawanan Unisel cawangan Bestari Jaya baru-baru ini memberitahu pengawal keselamatan terbabit bukan diberhentikan sebaliknya tempoh kontrak perkhidmatan mereka sudah tamat.

Bagaimanapun pihak Unisel katanya sudahpun menyambung kontrak mereka semula sebelum unit keselamatan universiti ini diswastakan kepada syarikat keselamatan luar menerusi tender terbuka dalam masa terdekat.

“Kampus ini terlalu besar, jadi kita tidak boleh bergantung hanya kepada tenaga manusia sahaja, jadi kita mahu mengkaji semula macam mana yang efektif dan berkesan dari segi tenaga pekerja, tidak semestinya mereka ini yang sudah habis kontrak itu tidak ada kerja, bukan kami berhentikan kerja, kontrak dah habis, jadi sekarang ini kita nak cuma struktur semula macam mana kita nak lantik ataupun adakan sistem keselamatan yang mungkin mereka akan diambil oleh satu syarikat yang profesional sikit, mungkin mereka akan bekerja dengan syarikat lain,” katanya.
Tambahnya beliau mengakui dakwaan Pengerusi Kesatuan Kakitangan Am Unisel (KEKAL), Nor Ridzuan mengatakan pihak universiti mahu menswastakan unit keselamatan Unisel setelah kontrak perkhidmatan beberapa pengawal keselamatan tidak disambung semula menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

Katanya sehingga kini Unisel belum melantik mana-mana syarikat keselamatan untuk tujuan itu. Bagaimanapun syarikat-syarikat yang berminat boleh menyertai tender terbuka ini selepas keputusan menswastakannya diputuskan pihak pentadbiran universiti tidak lama lagi.

“Kita belum berunding siapa yang akan kita lantik, kena tender dan bersaing dan kita boleh letakkan syarat-syarat, ini serupa dengan kita dah swasta pun, cuma nak diperkemaskan pentadbirannya, itu saja,” katanya.

Tiada ulasan: