Isnin, 9 Ogos 2010

Mujahid hasilkan dua buku baru

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof terus berkarya. Kali ini beliau menerbitkan dua buku serentak iaitu "Kita Kan Orang Malaysia" dan "Menuju PAS Baru".

Buku "Kita Kan Orang Malaysia" diterbitkan oleh Media Ikon Sdn Bhd dalam siri-siri Buku Siasah merupakan buku catatan usaha beliau menyatukan pelbagai kaum di negara ini selaras dengan jawatan beliau sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS.

Melalui buku ini, Mujahid menceritakan bagaimana sifat sukakan kepada perpaduan telah ditanam oleh Allahyarham Yusof Rawa, Mursyidul Am PAS yang pertama iaitu ayah beliau sendiri.

Buku yang disampaikan dalam bentuk santai dan cerita ini sangat sesuai dibaca oleh semua peringkat umur kerana ia bacaan yang tidak terlalu berat.

Buku ini dijual dengan harga RM18 dan boleh didapati di Galeri Buku Nufair atau hubungi terus dengan penerbuitnya, Media Ikon 03-40254741.

Buku "Menuju PAS Baru" pula adalah sedutan sebahagian dari kandungan tesis PhD beliau. Ia berkaitan dengan cadangan dan pandangan beliau bagaimana pembentukan kepimpinan PAS selepas dua lekok yang awal yang dilaluinya.

Dalam buku ini, Mujahid menjangkakan PAS akan melalui lekok ketiga hayatnya selepas lekok pertama PAS di zaman Datuk Asri Muda dan lekok kedua iaitu Kepimpinan Ulamak.

Ia diterbitkan oleh The Malaysian Insider iaitu sebuah laman web yang banyak menyiarkan tulisan Mujahid sebelum ini. Buku ini dijangka berada di pasaran hujung minggu ini.

Tiada ulasan: