Isnin, 23 Ogos 2010

MTUC: Raja undur Setiausaha Agung MTUC, nafi kerana ‘politik dalaman’

THE MALAYSIAN INSIDER


Rajasekaran berkata sudah sampai masanya untuk orang lain mengambil alih jawatan beliau.

SUBANG JAYA — G. Rajasekaran memutuskan tidak akan mempertahankan jawatan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang disandang sejak 1994, tetapi menyangkal keputusan muktamad itu berkaitan dengan “politik” dalaman badan induk pekerja itu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terbuka kepada timbalannya Abdul Halim Mansor yang merupakan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Petroleum dan Kimia untuk bertanding jawatan tersebut.

Abdul Halim ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata beliau akan bertanding jawatan itu jika mendapat pencalonan dan sokongan.

MTUC akan menetapkan tarikh pemilihan bulan depan, lazimnya diadakan pada bulan Disember.

Tiga tahun lalu, Rajasekaran menang tipis dengan perbezaan empat undi.

Ketika itu Rajasekaran dicabar Abdullah Sani Abdul Hamid yang kini merupakan Ahli Parlimen Kuala Langat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jawatan presiden kongres itu kini disandang oleh Syed Shahir Syed Mohamud, juga pemimpin PKR.

Awal tahun ini mahkamah juga telah mengesahkan kemenangan Rajasekaran.

“Saya rasa sudah sampai masanya saya melepaskan jawatan ini, biar orang lain mengambil alih,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Rajasekaran mencabar Dr V. David ketika memegang jawatan timbalan setiausaha agung MTUC.

Lazimnya timbalan setiausaha agung akan mengambil alih jawatan setiausaha agung menerusi pemilihan.

Bagaimanapun kata Rajasekaran, keputusan beliau berundur bukan kerana kononnya wujud masalah dalaman atau krisis kepimpinan dalam MTUC.

“Sebaliknya, saya merasakan saya cukup lama berada di sini dan mahu membuka laluan kepada orang lain... itu sahaja, tiada sebab-sebab lain,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan kerana menang tipis tiga tahun lalu, Rajasekaran memberitahu ia tiada kaitan dengan keputusan itu.

“Jika itulah sebabnya, saya sudah pasti telah berhenti selepas pemilihan tahun 2007,” katanya.

Rajasekaran, 69, beliau sebenarnya telah memutuskan untuk mempertahankan jawatan itu tiga tahun lalu.

“Dan, selepas keputusan tahun 2007, saya sudah memberitahu rakan-rakan saya bahawa saya tidak akan bertanding lagi, saya sebenarnya saya sudah lama membuat keputusan,” kata beliau lagi.

Kata Rajasekaran beliau sebenarnya tidak mahu bertanding pada 2007 tetapi atas desakan kawan-kawan telah mengubah pendirian.

“Desakan itu tetap akan ada tetapi saya sudah membuat keputusan muktamad,” kata beliau yang juga Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Industri Logam.

“Selepas ini saya mahu memberi tumpuan di kesatuan saya dan membimbing barisan kepimpinan kesatuan saya untuk mengambil alih kedudukan saya,” katanya lagi.

Abdul Halim, 50, berkata, Rajasekaran juga telah memaklumkan tentang rancangan beliau bagi membolehkannya mengambil alih kelak.

“Rajasekaran pernah meminta saya bertanding dan bergerak ke atas (jawatan lebih tinggi) untuk meneruskan perjuangan MTUC.

“Saya kena berbincang dengan rakan-rakan saya, dan bertanding jawatan ini memerlukan sokongan rakan-rakan kesatuan... jika ada pencalonan saya pasti akan bertanding,” kata beliau yang memegang jawatan timbalan setiausaha agung sejak lebih satu dekad.

Tiada ulasan: