Ahad, 22 Ogos 2010

M'sia mulakan asas perlancongan taman

BERNAMA


Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen merancang menggunakan kepelbagaian flora dan fauna di Malaysia untuk menggamit kedatangan pencinta alam semulajadi dan peminat taman dari seluruh dunia ke Malaysia.

Beliau berkata Malaysia mempunyai banyak koleksi bunga orkid dan bunga raya yang unik dan juga tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui yang pasti akan dihargai dan dikagumi pelawat luar negara.

"Tetapi kami perlu lakukannya dengan cara yang betul, jadi saya akan menjemput ahli hortikultur dan pakar mengenai taman dari luar negara untuk membantu Malaysia membangunkan taman-taman kami," katanya semasa melawat taman terkemuka dunia Auckland Botanic Gardens.

Dr Ng yang begitu mengagumi taman-taman di Auckland telah mempelawa pengurus taman-taman itu Jack Hobbs melawat ke Malaysia untuk memberikan nasihat mengenai ciri taman dan membantu penyediaan pakej pelancongan berorientasikan taman.

Sempena lawatannya ke Auckland Botanic Gardens pada Khamis, Dr Ng menanam pokok bunga raya Malaysia di taman itu, menandakan bermulanya kerjasama Malaysia-New Zealand dalam pembangunan taman.

Dr Ng sedang dalam rangka lawatan promosi selama tujuh hari ke New Zealand dan Australia.

Tiada ulasan: