Jumaat, 20 Ogos 2010

Misi 'Ramadhan March For Freedom' Berjaya, Sukarelawan Selamat Pulang

Oleh Sidiqin Omar

SEPANG - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mappim) akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza termasuk pembinaan hospital, sekolah serta masjid.

Ini antara hasil kajian yang diperolehi oleh Mappim yang menganjurkan Misi 'Ramadhan March for Freedom' ke Semenanjung Gaza mulai 6 Ogos lalu.

"Antara persefahaman jangka panjang yang disepakati oleh Mapim dengan kerajaan Gaza adalah cadangan pembinaan Hospital Pediatrik di Gaza, cadangan bandar berkembar dengan kota Khan Younis, pembinaan masjid berkembar Al-Umri dan pembinaan jalan utama di kota Khan Younis sepanjang tujuh kilometer yang bakal dinamakan jalan persaudaraan Malaysia-Palestin.

"Selain itu kita akan membantu pembinaan Taman Rehabiitasi Kanak-Kanak atas nama Malaysia, cadangan pembinaan Kolej Perubatan Universiti Islam Gaza dan cadangan pembinaan pejabat Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura)," jelas Mohd Azmi.

Beliau menjelaskan, cadangan tersebut akan turut dimajukan kepada kerajaan Malaysia, negara-negara Asia Tenggara dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).

Semalam seramai 44 orang sukarelawan misi tersebut selamat tiba di tanahair tepat jam 7.15 Rabu malam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan disambut oleh sanak saudara, kenalan dan pegawai kerajaan negeri Selangor.

"Alhamdulillah, ini adalah satu perjalanan yang diizinkan olehNya dan kita selamat pergi dan pulang dengan semangat perjuangan yang berkobar-kobar. Delegasi misi berjaya melepasi sempadan Rafah, hasil bantuan dan kerjasama oleh pihak Kedutaan Malaysia di Mesir. Di luar perancangan asal, pemerintah Gaza menjadikan delegasi ini sebagai tetamu rasmi kerajaan," jelas Mohd Azmi yang juga ketua misi pada sidang media yang diadakan sejurus selepas jamuan berbuka di Balai Ketibaan.

Dalam menyempurnakan misi, beliau menjelaskan delegasi tersebut telah berjaya menyampaikan bantuan makanan, perubatan dan alat pendidikan daripada sumbangan rakyat Malaysia kepada golongan sasar.

Namun, keunikan dalam misi tersebut adalah hasil kejayaan dalam kajian menyeluruh yang menghimpunkan pelbagai maklumat antaranya, data berkenaan kedudukan pendidikan dan persoalan kesihatan.

"Kita turut dapat menghimpunkan maklumat berkenaan pembangunan masjid, status wanita, kanak-kanak dan rekod hak asasi manusia. Seterusnya kita mendapatkan data berkenaan hubung kait antara pentadbiran di Gaza dengan Tebing Barat, persoalan ekonomi dan kita berjaya meneliti keperluan infrastuktur dan jaringan antara NGO di antara Malaysia dengan Palestin.

"Dapatan dan penemuan kajian tersebut telah dibengkelkan di dalam sebuah 'Seminar Pasca Ramadhan For Freedom' yang sempat diatur oleh Mappim yang turut disertai oleh anggota delegasi dan jemputan beberapa orang rakyat Malaysia yang berada di Mesir, di Hotel Cairo Khan, Kaherah, pada 16 Ogos yang lalu.

"Semua anggota misi telah di bawa untuk menyaksikan sendiri lokasi kerosakan harta benda akibat perang, serta keperluan rakyat Palestin, terutamanya di khemah-khemah pelarian di sekitar Gaza semenjak serangan rejim Zinois pada tahun 2009," jelas Mohd Azmi.

Beliau berkata, apa yang menakjubkan ialah semangat rakyat Gaza yang kental untuk meneruskan kehidupan jelas kelihatan.

Berdasarkan pemerhatian, seluruh lapisan rakyat di Gaza menunjukkan jati diri dan daya ketahanan mereka yang tinggi dalam berhadapan dengan kezaliman dan ancaman rejim zionis Israel.

Dalam pertemuan khas delegasi tersebut dengan Perdana Menteri Gaza di pejabat rasminya, Dr Ismail Haniyeh menyatakan setinggi-tingginya penghargaan kepada rakyat Malaysia dalam menyokong dan membantu penduduk Gaza dalam menghadapi kesulitan, sekatan dan serangan dari rejim Zionis Israel.

Malah dalam pertemuan tersebut beliau memaklumkan, dua wira yang terselamat dalam konvoi kapal Mavi Marvara yang lalu, Mustapha Mansor, Ahli Jawatankuasa MAPIM dan wartawan Astro Awani, Aswad Ismail telah dianugerahkan watikah penghargaan tertinggi oleh Perdana Menteri Gaza.

Tiada ulasan: